AMIRUDIN Shari. FOTO arkib NSTP
AMIRUDIN Shari. FOTO arkib NSTP
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Program Vaksin Selangor (SelVAX) adalah usaha kerajaan negeri mempercepatkan proses vaksinasi rakyat dengan mengenalpasti kumpulan sasaran (SelVAX Komuniti) serta memelihara pekerja (SelVAX Industri).

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, SelVAX Komuniti akan memberi manfaat kepada 250,000 warga Selangor yang belum divaksin, manakala SelVAX Industri adalah program berbayar yang terbuka kepada syarikat secara sukarela dengan sasaran satu juta pekerja.

Katanya, bagi program itu, sejumlah 2.5 juta dos yang ditempah, dengan jangkaan 1.25 juta orang penerima vaksin.

"Kerajaan negeri menyasarkan sehingga 181,000 dos bagi penerima SelVAX Komuniti secara percuma menjelang akhir bulan Julai ini.

"Bagi SelVAX Industri pula, kita sedar dan harus mengakui sejumlah besar kes saat ini berpunca daripada kluster tempat kerja.

"Mengikut angka dan data terkini, sepanjang bulan Jun, 91 peratus kluster di Selangor berpunca daripada pekerjaan iaitu 80 peratus kluster perkilangan dan 11 peratus kluster tapak binaan bersamaan dengan 125 kluster daripada dua sektor ini," katanya dalam pengumuman khas SelVAX secara maya hari ini.

Justeru itu katanya, kerajaan negeri menyediakan dua juta dos vaksin bersamaan satu juta pekerja termasuk pekerja asing dalam usaha melindungi semua daripada penularan wabak ini.

"Dengan memberikan vaksin kepada pekerja kilang dan industri, kita dapat mengawal dan mengurangkan kadar perebakan Covid-19, secara tidak langsung akan melindungi kita semua.

"Bagaimanapun, SelVAX Industri hanya terbuka kepada syarikat dan tidak dijual kepada individu," katanya.

Beliau berkata, usaha SelVAX Industri melengkapkan inisiatif Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di peringkat Pusat mendapat sambutan yang memberangsangkan.

"Antara syarikat besar yang menyertai program ini adalah pasar raya 99 Speed Mart, Ernst & Young, GLC gergasi seperti Telekom Malaysia serta Touch n Go, juga syarikat binaan terkemuka seperti EcoWorld dan Tropicana.

"Penting dinyatakan di sini, syarikat yang mengambil bahagian tidak dibenarkan mengenakan sebarang kos ke atas pekerja mereka.

"Ini termaktub dalam perjanjian dan borang 'consent form'. Tindakan undang-undang boleh diambil kepada para majikan yang mengenakan caj caj bayaran kepada pekerja," katanya.

Katanya, matlamat utama pelaksanaan SelVAX ini adalah untuk melengkapi pelaksanaan PICK dan memastikan imuniti berkelompok dicapai.

"Dengan pelaksanaan SelVAX ini dan tambahan bekalan vaksin dari Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) dijangka jumlah suntikan vaksin akan meningkat ke 135,000 dos pada Julai dan 165,000 dos vaksin pada Ogos.

"Program SelVAX hanya dapat berjaya dengan kerjasama semua. Pelaksanaan program ini diharapkan akan mempercepatkan peralihan keluar daripada keadaan meruncing sekarang," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Jun 2021 @ 4:16 PM