HELIKOPTER Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) memadam kebakaran di Hutan Simpan Kuala Langat Selatan pada 4 Mac lalu. FOTO arkib NSTP
HELIKOPTER Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) memadam kebakaran di Hutan Simpan Kuala Langat Selatan pada 4 Mac lalu. FOTO arkib NSTP
Norzamira Che Noh


Kuala Langat: Kerajaan Selangor bercadang mengeluarkan permit penggunaan tanah seluas 1,700 hektar Hutan Simpan Kuala Langat (HSKL) Selatan yang akan digunakan bagi tujuan pertanian.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar & Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli, Hee Loy Sian berkata, Jabatan Perhutanan Selangor menerusi Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) bakal melaksanakan usaha itu bagi memudahkan proses kawalan dan pemantauan kebakaran di kawasan itu.

"Kawasan hutan bertanah gambut di situ sering kali berdepan ancaman berikutan berlaku kejadian kebakaran pada setiap tahun.

"Kita cadang keluarkan permit penggunaan tanah bagi mereka yang berminat menjalankan tanaman pertanian kontan dengan menggunakan teknologi lebih canggih.

"Ia akan berupaya mengawal pencerobohan serta pembakaran terbuka yang dipercayai dilakukan oleh petani haram," katanya pada sidang media ketika meninjau kawasan kebakaran tayar ricih terpakai di Telok Panglima Garang dekat sini, semalam.

Beliau berkata, kebakaran di kawasan hutan itu berlaku setiap tahun yang mana petani membakar sisa tanaman bagi membersihkan kawasan sebelum memulakan penanaman baharu.

Katanya, dengan pengeluaran permit penggunaan tanah itu, pihaknya mengharapkan agar pengusaha akan menggunakan teknologi yang lebih canggih sekali gus mengelakkan kejadian kebakaran hutan berulang.

Terdahulu, kawasan seluas lebih 2.8 hektar terbakar di Hutan Simpan Kuala Langat Selatan sejak Sabtu lalu.

Difahamkan, proses pemadaman masih dijalankan di kawasan seluas 1.2 hektar.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Jun 2021 @ 11:03 AM