GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Tiga anggota polis ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor kerana disyaki meminta dan menerima rasuah sebanyak RM2,000 daripada seorang individu bagi mengelakkan dari dikompaun atas kesalahan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut sumber, kesemua suspek lelaki berusia 26 hingga 31 tahun itu ditahan di Pejabat SPRM Selangor kira-kira jam 6 petang hari ini selepas hadir memberikan keterangan.

Difahamkan, kejadian berlaku apabila individu itu sedang mengalihkan batu-bata dari lori kren ke rumah kakaknya yang sedang dalam pembinaan di Shah Alam yang kemudian didatangi ketiga-tiga suspek pada 25 Jun lalu.

Seorang daripada suspek meminta dan menerima wang tunai daripada individu terbabit supaya kerja-kerja yang dilakukan individu itu tidak diadukan kepada Pegawai Pemantau Polis untuk tindakan kompaun antara RM20,000 hingga RM50,000 disebabkan menjalankan aktiviti yang tidak dibenarkan sepanjang tempoh PKP.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

Ketiga-tiga suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam pada jam 9 pagi esok untuk permohonan reman.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Jun 2021 @ 9:10 PM