DR Noor Hisham. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
DR Noor Hisham. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Jumlah kes bunuh diri dalam negara menunjukkan peningkatan tahun ini dengan 631 kes dilaporkan berbanding 609 tahun lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah itu berdasarkan laporan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Beliau berkata, bagi tempoh sehingga Mac tahun ini, sebanyak 336 kes bunuh diri dilaporkan kepada PDRM.

Katanya, pandemik Covid-19 memberi impak amat besar kepada kesihatan mental setiap individu di seluruh dunia dan tidak terkecuali rakyat Malaysia.

"Sesetengah individu berisiko tinggi mengalami masalah kesihatan mental termasuk kemurungan terutama ketika berada dalam keadaan tekanan melampau dan isolasi daripada rangkaian sokongan keluarga serta sahabat.

"Sekiranya kemurungan ini gagal dikenal pasti dan dirawat dengan baik, ia boleh meningkatkan risiko tingkah laku bunuh diri," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, masyarakat perlu lebih cakna dan prihatin terhadap ahli keluarga dan orang sekeliling dalam mengenal pasti simptom awal kemurungan yang boleh menyumbang kepada tingkah laku bunuh diri.

"Ini termasuk perubahan tingkah laku kepada individu, sentiasa kelihatan sedih dan murung, hilang minat terhadap aktiviti biasa dilakukan, kesukaran untuk menumpukan perhatian atau melakukan tugas harian biasa serta mengasingkan diri daripada keluarga dan rakan.

"Selain itu, awasi simptom seperti mengalami gangguan tidur dan selera makan, bertindak agresif serta kasar kepada diri sendiri dan orang sekeliling dan menyalahguna alkohol dan dadah.

"Pada masa sama, simptom menyatakan perasaan hilang harapan atau bosan untuk hidup dan kehadirannya membebankan ahli keluarga serta menyatakan keinginan untuk menamatkan riwayat hidup secara verbal atau penulisan juga perlu diawasi," katanya.

Beliau berkata, sekiranya terdapat gejala berkenaan, individu dinasihatkan supaya mendapatkan nasihat perubatan profesional dalam kadar segera bagi mengelakkan keadaan lebih buruk.

Katanya, selain itu, orang ramai boleh membantu dengan berkomunikasi secara berkesan dengan individu mengalami kemurungan dengan mengambil serius masalah dialami serta meluangkan masa untuk mendengar luahan mereka.

"Tidak mengambil mudah atau memperlekehkan masalah mereka, menunjukkan empati dan mengelakkan sikap menghakimi individu terbabit serta memanfaatkan penggunaan teknologi maklumat terkini bagi mengekalkan hubungan.

"Pada masa sama, berikan sokongan sosial kepada mereka seperti membantu dalam urusan seharian jika diperlukan dan galakkan serta bantu mereka untuk dapatkan penilaian dan rawatan profesional," katanya.

Katanya, pihak media juga boleh memainkan peranan penting dalam menyebarkan maklumat tepat dan mematuhi garis panduan pelaporan media yang bertanggungjawab yang dikeluarkan oleh Bahagian Kawalan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai tingkah laku bunuh diri.

"Masyarakat juga diminta untuk menghormati perasaan ahli keluarga mangsa dengan tidak merekodkan video atau mengedarkan gambar di media sosial berkaitan individu yang membunuh diri.

"Bunuh diri boleh dicegah, namun tindakan tular di media sosial boleh mengundang 'copycat suicide' bagi mereka yang berisiko," katanya.

Menurutnya, orang ramai boleh menghubungi talian bantuan sokongan diwujudkan seperti MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392 serta Talian Kasih (15999) atau WhatsApp Talian Kasih di talian 019-2615999 bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumah tangga serta pelbagai masalah lain seperti penderaan.

Kataya, orang ramai juga boleh menghubungi KSK-Care Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (JAKIM) melalui WhatsApp di talian 0111-9598214 serta Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929," katanya.

menghadapi kesan sosio-ekonomi pandemik Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Jun 2021 @ 9:01 PM