Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Kerajaan meluluskan peruntukan berjumlah RM4 juta bagi menaik taraf kuarters kakitangan Penjara Marang untuk memberi suasana lebih selesa kepada kakitangan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, ia membabitkan pembinaan 64 unit blok kediaman yang bakal memberi manfaat kepada kakitangan berkenaan.

Beliau berkata, tender akan dibuka pada Ogos depan dan kerja-kerja menaik taraf dijangka bermula sama ada pada Oktober atau November ini.

"Projek dijangka masuk tapak pada Oktober atau November ini, jadi kalau ini kita boleh lakukan secepat mungkin, ia akan memberikan keselesaan kepada anggota dan pegawai Penjara yang tinggal di Marang," katanya kepada media selepas melawat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu, di sini, hari ini.

Terdahulu, Hamzah meninjau operasi pemantauan prosedur operasi standard (SOP) di Penjara Marang, jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Chendering dan operasi Jabatan Imigresen Malaysia di Bandaraya Kuala Terengganu.

Dalam pada itu, Hamzah berkata, pihaknya melihat keperluan satu kawasan yang lebih besar terutama di kawasan penjara yang mempunyai ruangan terhad dan padat.

DATUK Seri Hamzah Zainudin (tiga kiri) meninjau keadaan pekerja warga asing di tapak binaan semasa program pemantauan pematuhan SOP di Jalan Tanjung. FOTO Ghazali Kori
DATUK Seri Hamzah Zainudin (tiga kiri) meninjau keadaan pekerja warga asing di tapak binaan semasa program pemantauan pematuhan SOP di Jalan Tanjung. FOTO Ghazali Kori

"Cuma bila ada kluster tembok yang diumumkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kita juga mahu melihat penjara-penjara lain apa sebab-sebabnya.

"Macam di Penjara Marang, kita lihat ia memerlukan satu kawasan yang lebih besar untuk mengeluarkan banduan yang ada di situ, dan letak di tempat lain iaitu di Penjara Satelit di Dungun.

"Insya-Allah, mereka (banduan) akan dipindahkan pada 1 Julai ini," katanya.

Mengulas mengenai suntikan vaksin Covid-19, Hamzah berkata, kira-kira 67,000 banduan di seluruh negara akan menerima vaksin seperti yang dibincangkan bersama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) dan KKM.

"Buat masa ini, kita pastikan pegawai dan anggota kita dahulu (terima vaksin) sebelum suntikan vaksin diberikan kepada banduan.

"Semua orang akan dapat vaksin termasuk banduan dan tahanan imigresen yang ada di dalam negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Jun 2021 @ 6:21 PM