ISMAIL Sabri. FOTO Mohd Adam Arinin.
ISMAIL Sabri. FOTO Mohd Adam Arinin.
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Peralihan bagi setiap fasa dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) tidak tertakluk kepada satu-satu tarikh semata-mata sebaliknya ia bergantung kepada tiga indikator nilai ambang utama yang sudah ditetapkan kerajaan.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tiga indikator itu ialah purata kes harian Covid-19, kadar penggunaan katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) serta kadar vaksinasi bagi populasi yang sudah menerima dua dos lengkap.

Beliau berkata, sekiranya ketiga-tiga indikator itu berjaya dipenuhi, maka ia akan beralih ke fasa seterusnya.

"Lagi cepat kita mencapai nilai ambang bagi ketiga-tiga indikator itu, lagi cepatlah kita dapat beralih ke fasa berikutnya.

"Sehubungan itu, adalah amat penting untuk setiap rakyat Malaysia mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang sudah ditetapkan kerajaan dan mengamalkan kawalan kendiri bagi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

"Hanya dengan itu, kes harian Covid-19 dapat diturunkan, sekali gus mengurangkan jumlah

pesakit yang dirawat di ICU," katanya dalam kenyataan media mengenai PPN dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), hari ini.

Berkenaan pemantauan dan penguatkuasaan SOP Covid-19 di sektor perkilangan dan premis perniagaan, Ismail Sabri berkata, pasukan Task Force Operasi Pematuhan sudah melakukan 2,047 pemeriksaan ke atas kilang dan 11,899 premis perniagaan, semalam.

Menurutnya, daripada jumlah itu, sebanyak lapan premis diarahkan tutup kerana didapati melanggar arahan kerajaan dan SOP.

"Secara kumulatifnya, pasukan Task Force Operasi Pematuhan melaksanakan 88,238 pemeriksaan dan 'snap check' Covid-19 di seluruh negara dengan jumlah kekuatan anggota sebanyak 20,114," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Jun 2021 @ 7:24 PM