Hashim mengisi borang sebelum menerima vaksin. FOTO BERNAMA
Hashim mengisi borang sebelum menerima vaksin. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Alor Setar: Kelibat seorang warga emas yang berpakaian serba putih dan diberi jolokan 'Mr White' mencuri tumpuan orang ramai di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Kedah Medical Centre (KMC), di sini, hari ini.

Menurut anaknya, Haslina Hashim, 53, bapanya Hashim Mustafa, 86, memang gemar warna putih dan apabila diberitahu bahawa perlu hadir ke KMC untuk menerima suntikan vaksin Covid-19, bekas guru itu meminta supaya menyediakan pakaian serba putih untuknya.

"Baju, seluar dan kasut semua nak warna putih, dari zaman dia dok (masih) mengajar dulu pun memang ayah suka pakai putih sedia, suami saya cakap ayah ni dah macam 'navy' (tentera laut)," katanya kepada ketika ditemui di PPV KMC, di sini.

Haslina yang juga seorang guru berkata, dia mengikut sahaja kemahuan Mr White itu kerana tidak mahu warga emas berkenaan mengubah fikiran, kerana sebelum ini bapanya keberatan untuk menerima suntikan vaksin.

"Sebelum ni dah daftar kat MySejahtera, dah dapat tarikh tapi dia tak mau. Lepas tu saya pujuk, saya cakap selagi tak vaksin, tak boleh ke masjid dan akhirnya dia setuju dan saya pun daftar nama ayah sekali lagi lebih kurang seminggu lepas tu, terus dapat tarikh suntik hari ini," katanya.

Kehadiran Mr White yang kacak itu turut mendapat perhatian warga KMC yang mengambil peluang merakamkan gambarnya dan lebih mengharukan apabila ada kakitangan hospital swasta itu adalah bekas anak murid guru Bahasa Melayu berkenaan.

"Macam jejak kasih pula, cikgu mengajar saya masa di Langkawi dulu, cikgu memang selalu pakai putih pun," kata seorang kakitangan KMC, Noor Faridah Abdul Halim yang teruja kerana dapat berjumpa bekas gurunya itu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif KMC, Norhalida Abdullah berkata, KMC dilantik sebagai Pusat Pemberian Vaksin Hospital Swasta (PPVHS) bermula hari ini di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dengan kerjasama ProtectHealth Corporation Sdn Bhd (ProtectHealth).

Beliau berkata, KMC menyediakan 40 petugas khas untuk melancarkan proses vaksinasi dengan mengutamakan keselamatan dan keselesaan penerima vaksin serta memastikan semua pihak patuh terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"KMC akan memberi vaksin kepada 100 orang setiap hari bermula hari ini hingga Jumaat ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Jun 2021 @ 5:22 PM