Hayati Othman (kanan) ketika melakukan lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Latihan  Agensi Anti Dadah Kebangsaan (PLAK) di sini, hari ini. Foto Noorazura Abdul Rahman
Hayati Othman (kanan) ketika melakukan lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Latihan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (PLAK) di sini, hari ini. Foto Noorazura Abdul Rahman
Noorazura Abdul Rahman


Sungai Petani: Kedah masih belum berpuas hati dengan peratusan pemberian vaksin Covid-19 kepada rakyatnya kerana dilihat masih rendah berbanding jumlah pendaftaran yang diterima.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata, keadaan ini berlaku kerana bekalan vaksin yang diterima di Kedah agak rendah berbanding negeri lain.

"Setakat ini, jumlah rakyat Kedah yang menerima suntikan dos pertama adalah seramai 223,936 individu atau bersamaan 10.23 peratus, manakala jumlah individu yang lengkap dua dos adalah seramai 150,119 atau 6.2 peratus.

"Kita menerima jumlah yang mendaftar untuk mendapatkan vaksin seramai 951,155 individu atau 61.74 peratus daripada penduduk yang layak menerima vaksin," katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Latihan Agensi Antidadah Kebangsaan (PLAK), di sini, hari ini.

Dr Mohd Hayati berkata, pihaknya berharap Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) dapat menambah bekalan vaksin kepada Kedah bulan hadapan.

Katanya, setakat ini penghantaran vaksin jenis Pfizer-BioNTech untuk Kedah pada 7 Julai ini adalah sebanyak 30,000 dos, namun jumlah vaksin jenis Sinovac belum dapat disahkan lagi.

"Bagaimanapun, kita terima 24,000 vaksin jenis Sinovac, hari ini untuk digunakan pengamal perubatan dan hospital swasta.

"Kita harap urusan mendapatkan bekalan vaksin yang diusahakan kerajaan persekutuan berjalan lancar dan Kedah dapat diberikan keutamaan untuk menerima jumlah bekalan yang optimum sesuai dengan kapasiti setiap PPV," katanya.

Sementara itu, Dr Mohd Hayati memaklumkan sehingga Sabtu lalu, Langkawi mencatatkan peratusan pemberian vaksin tertinggi di negeri terbabit iaitu 20.45 peratus bagi dos pertama dan 12.32 peratus bagi yang lengkap dos kedua.

"Memang kita sasarkan Langkawi sebagai kawasan yang diberi keutamaan supaya dapat buka balik pulau itu untuk gelembung perjalanan.

"Kalau kita tengok di Phuket, Thailand mereka sudah buka, jadi kita harap kita boleh lajukan kadar pemberian vaksin di Langkawi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Jun 2021 @ 4:47 PM