KHAIRY (tengah) melihat individu yang menerima suntikan vaksin. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin.
KHAIRY (tengah) melihat individu yang menerima suntikan vaksin. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin.
Amirul Aiman Hamsuddin


Tanjong Karang: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) akan memutuskan jumlah dos vaksin untuk Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (Pikas) dalam tempoh terdekat.

Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, pihaknya menerima permohonan daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bagi mendapatkan vaksin untuk program itu.

"Dalam tempoh terdekat, kita akan memperhalusi keperluan mereka (Pikas) tanpa mengganggu Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

"Kita juga akan putuskan jumlah dos vaksin yang boleh diberikan kepada sektor perkilangan dan sektor industri lain seperti pembinaan dan lain-lain," katanya pada sidang media selepas melawat pusat pemberian vaksin (PPV) di Institut Pengurusan Peladang (IPP), di sini, hari ini.

Turut hadir, Ahli Parlimen Tanjong Karang Tan Sri Noh Omar dan Pegawai Daerah Kuala Selangor, Mohd Faizal Abdul Raji.

Pada 26 Jun lalu, Menteri MITI, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memaklumkan hampir 2 juta dos vaksin diperlukan bagi menjayakan Pikas bermula bulan depan hingga September ini, bagi mencapai tahap imuniti kelompok sektor itu.

Beliau dipetik berkata, Khairy juga memberi jaminan Pikas harus diperuntukkan 600,000 dos pada Julai, dan dijangkakan pada akhir September ini proses vaksinasi boleh selesai dan mencapai imuniti kelompok dalam sektor pembuatan.

Sementara itu, Khairy turut memuji usaha dilakukan MITI dalam mengendalikan Pikas yang dianggap sebagai berjaya.

Beliau berkata, beberapa negeri akan menyertai Pikas supaya lebih ramai pekerja menerima suntikan vaksin Covid-19 secepat yang mungkin.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Jun 2021 @ 4:28 PM