POLIS mengadakan pemeriksaan SOP Perintah Kawalan Pergerakan sebelum menemui tujuh lelaki yang sedang melepak di bawah pokok di Guar Tuan Syed, Penaga, Kepala Batas. FOTO ihsan PDRM
POLIS mengadakan pemeriksaan SOP Perintah Kawalan Pergerakan sebelum menemui tujuh lelaki yang sedang melepak di bawah pokok di Guar Tuan Syed, Penaga, Kepala Batas. FOTO ihsan PDRM
Nur Izzati Mohamad


Kepala Batas: Tindakan tujuh lelaki melepak di bawah pokok berhampiran gelanggang futsal di Guar Tuan Syed, di sini, membawa padah apabila dikompaun kerana ingkar prosedur operasi standard (SOP), semalam.

Dalam operasi kira-kira 6 petang itu, polis menemui sekumpulan lelaki berusia 24 hingga 57 tahun sedang berkumpul tanpa memakai pelitup muka.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, siasatan mendapati kesemua mereka menjadi lokasi itu sebagai tempat untuk meminum air ketum.

"Ini berikutan pemeriksaan yang dilakukan pada motosikal milik salah seorang daripada mereka menjumpai dua bungkus plastik mengandungi air ketum.

"Pada masa sama, kesemua mereka melanggar SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila berkumpul tanpa memakai pelitup muka dan masing-masing dikompaun RM1,500," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, mereka ditahan kerana melanggar SOP apabila dipercayai meminum air ketum, dan bukan kerana bermain futsal seperti yang didakwa di media sosial.

"Kes turut disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952," katanya.

Terdahulu, tular video berdurasi 23 saat menunjukkan sebuah trak polis membawa individu yang ditahan yang rata-ratanya mendakwa mereka diberkas atas kesalahan bermain futsal.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Jun 2021 @ 3:13 PM