GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Rafiqah Dahali


Kota Kinabalu: Aktiviti penjualan nombor ekor haram mencetuskan satu kluster baharu, Kluster Kuarters Bata Durok di Keningau, Sabah membabitkan jangkitan dalam komuniti, hari ini.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata penularan kes Covid-19 dari kluster terbabit membabitkan komuniti tiga mukim iaitu mukim Lingkudau, Luagan dan Patikang di daerah terbabit.

"Kluster ini mula direkodkan Pejabat Kesihatan Kawasan Keningau melalui saringan pra-kemasukan wad terhadap kes indeks iaitu seorang lelaki tempatan berusia 69 tahun dari Taman Keningau Ville di Hospital Keningau pada 23 Jun lalu.

"Siasatan kontak rapat kemudian mendapati 11 lagi kes positif masing-masing dua kes pada 24 Jun dan sembilan kes pada 26 Jun.

"Berdasarkan siasatan awal, aktiviti sosial iaitu penjualan nombor ekor haram dipercayai menjadi punca jangkitan merebak kepada ahli keluarga seterusnya komuniti," katanya.

Menurutnya, selain Kluster Kuarters Bata Durok, terdapat dua kluster lagi telah dikesan di Sabah iaitu Kluster Linau Kumpang di Kota Belud dan Kluster Tembok Kota Kinabalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Jun 2021 @ 8:22 PM