Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Special Task Force bagi memantau kilang dan premis perniagaan yang melanggar perintah atau prosedur operasi standard (SOP) tidak akan diwujudkan.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, terdapat kekeliruan mengenai peranan pasukan keselamatan terutama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di dalam Ops diumumkan sebelum ini.

"Terdapat dua pembahagian tugas iaitu National Task Force (NTF) yang diketuai ATM menerusi Op Benteng membabitkan kawalan sempadan negara bersama-sama 11 agensi lain termasuk PDRM, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan lain-lain.

"Manakala Task Force Operasi Pematuhan pula diketuai PDRM dan dibantu ATM, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan lain-lain bagi tujuan pemantauan pematuhan SOP samada melalui sekatan jalan raya (SJR) atau pemeriksaan di tempat awam.

"Kedua-dua Task Force ini diwujudkan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 lagi.

"Selepas PKP 3.0 dilaksanakan, Task Force Operasi Pematuhan PDRM diperluaskan kepada pemeriksaan terhadap kilang yang melanggar arahan dan SOP.

"Bagi memantau dan (mengambil) tindakan terhadap kilang serta premis perniagaan yang melanggar perintah atau SOP, Majlis Keselamatan Negara (MKN) menyelaras Special Task Foce yang baru diwujudkan," katanya.

Bagaimanapun, menurutnya, memandangkan sudah wujud Task Force Operasi Pematuhan di bawah PDRM yang menjalankan tugas hampir sama untuk memantau pematuhan SOP di tempat awam termasuk premis perniagaan, Sidang Khas MKN berpandangan tidak perlu diwujudkan Special Task Force lagi.

"Cukup dengan Task Force Operasi Pematuhan PDRM di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN).

"Justeru, saya berharap semua pihak faham setiap pembahagian tugas dan gerak kerja yang membabitkan ATM dan PDRM dalam melaksanakan tanggungjawab demi keselamatan rakyat dan kesejahteraan negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Jun 2021 @ 7:13 PM