GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Pelantikan pegawai perubatan secara tetap selama ini dibuat berasaskan merit dan prestasi semasa latihan siswazah, kata Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan (KKM) Datuk Mohd Shafiq Abdullah.

Beliau menjelaskan terdapat salah tafsiran pihak tertentu mengenai kenyataan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba pada Rabu lalu yang memasukkan pandangan Persatuan Perubatan Kesihatan Awam Malaysia dan Pertubuhan Doktor-doktor Islam Malaysia.

Kedua-dua persatuan itu mencadangkan supaya kerajaan meneliti semula pengambilan lantikan baharu graduan perubatan untuk berkhidmat di KKM, bagi memastikan graduan perubatan, khususnya dalam kalangan bumiputera, dapat berkhidmat secara tetap dan seterusnya mengurangkan kadar pengangguran bidang profesional di negara ini.

"Penjelasan kementerian mengenai isu yang dibangkitkan oleh kedua-dua persatuan berkenaan dibuat mulai perenggan kedua dalam kenyataan media itu. Adalah diharapkan penjelasan ini dapat memperbetul kekeliruan dan salah tafsiran semua pihak mengenai ketelusan dan integriti KKM," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, perenggan pertama kenyataan itu bagaimanapun bukanlah pendirian kementerian.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab kenyataan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) semalam bertajuk "Healthcare is colour blind" yang menolak unsur perkauman dan keagamaan dalam pemilihan dan pelantikan pegawai perubatan secara tetap.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Jun 2021 @ 5:39 PM