GAMBAR yang tular di media sosial. FOTO tular
GAMBAR yang tular di media sosial. FOTO tular
Rosman Shamsudin


Tapah: Polis akan memanggil beberapa individu termasuk penyanyi terkenal kerana menyertai majlis sosial dipercayai berlaku di sebuah ladang dekat Kampung Poh, Bidor, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, pada jam 2 petang hari ini, polis mengesan penularan gambar majlis sosial itu di Facebook (FB).

Katanya, majlis berkenaan membabitkan selebriti tempatan dan beberapa individu di sebuah ladang sekali gus melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

"Melalui gambar tular itu, mereka tidak ada penjarakan sosial dan ada juga tidak memakai pelitup muka.

"Gambar berkenaan dipercayai dirakam pada 24 Jun lalu oleh individu yang turut serta dalam majlis terbabit, " katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Wan Azharuddin berkata, ahli perniagaan tempatan dan beberapa penduduk kampung turut hadir dalam jamuan itu sambil berkaraoke.

Katanya, polis menjalankan siasatan mengikut Peraturan 17 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 serta Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998.

"Semua individu terbabit akan dipanggil dalam tempoh terdekat untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan.

"Polis ingin menasihatkan orang ramai supaya tidak menganjurkan sebarang bentuk majlis atau perhimpunan sepanjang tempoh PKP 3.0 dan sentiasa mematuhi SOP yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Jun 2021 @ 10:55 PM