Anggota tentera menerima suntikan vaksin Covid-19 pada Program Vaksinasi Pandu Lalu Peringkat Divisyen Kelima Infantri di Padang Kawad 3 RAMD, Kem Lok Kawi, hari ini. FOTO MOHD ADAM ARININ
Anggota tentera menerima suntikan vaksin Covid-19 pada Program Vaksinasi Pandu Lalu Peringkat Divisyen Kelima Infantri di Padang Kawad 3 RAMD, Kem Lok Kawi, hari ini. FOTO MOHD ADAM ARININ
Yun Mikail


Kota Kinabalu: "Akhirnya saya lega kerana sudah menerima suntikan vaksin. Selaku ibu yang memiliki lima cahaya mata berusia empat bulan sehingga 12 tahun, sudah pasti bimbang mengenai keselamatan anak-anak sekiranya saya dijangkiti Covid-19

"Lebih membimbangkan saya baru melahirkan anak bongsu yang kini berusia empat bulan," katanya penerima vaksin secara pandu lalu, Faizahwanti Mantasal, 35.

Faizahwanti berkata dia berasa lebih selamat selepas divaksin berikutan suaminya yang bertugas di Lima Skuadron Semboyan Briged (5SSB) juga sudah menerima vaksin lebih awal sebelum ini.

Dalam pada itu, dia memuji inisiatif pemberian vaksin secara pandu lalu berkenaan ekoran dilihat memudahkan penerima selain lebih teratur dari segi pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

Seorang lagi penerima vaksin pandu lalu, Jeffrey Saflan, 46, berkata awalnya dirinya sempat bimbang sebelum menerima suntikan disebabkan terbaca pelbagai khabar angin berkaitan suntikan vaksin.

"Mula-mula memang risau tetapi selepas sampai di sini dan terima suntikan setakat ini tiada kesan sampingan yang saya alami.

"Tambahan pun, perkhidmatan vaksin pandu lalu ini memang cukup membantu dari segi mempercepatkan proses vaksin.

"Saya harap langkah sama boleh dilaksanakan di lokasi lain supaya pemberian vaksin khususnya di Sabah dapat mencapai imuniti kelompok," katanya ketika ditemui pada Program Vaksinasi Pandu Lalu Tentera Darat di Kem Lok Kawi, dekat sini, sebentar tadi.

Turut hadir meninjau program sama, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri.

Dalam pada itu, seramai 636 anggota tentera, keluarga dan kakitangan awam dalam Kem Lok Kawi dan sekitar daerah berhampiran disenaraikan sebagai penerima suntikan vaksin pada program terbabit.

Seramai 67 penerima awal adalah membabitkan anggota tentera manakala 439 lagi adalah ahli keluarga masing-masing.

Selain itu, turut menerima vaksin membabitkan 61 askar wataniah serta 69 kakitangan Kementerian Pertahanan (MINDEF).

Bermula jam 8 pagi, pemberian vaksin secara pandu lalu itu membabitkan tiga saluran kenderaan dan enam stesen suntikan.

Program berkenaan menjadi lokasi ketiga selepas projek perintis pertama yang dilaksanakan di Kem Perdana Sungai Besi, Kuala Lumpur danKem Muara Tuang, Sarawak pada 20 Jun lalu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Jun 2021 @ 6:23 PM