DATUK Patinggi Abang Johari Abang Openg mengadakan sidang media. FOTO Nadim Bokhari
DATUK Patinggi Abang Johari Abang Openg mengadakan sidang media. FOTO Nadim Bokhari
Mohd Roji Kawi


Kuching: Keputusan sama ada Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP 3.0) dilanjutkan di Sarawak hanya akan ditetapkan selepas mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN), hari ini.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, kerajaan negeri akan meneliti hasil mesyuarat secara maya itu yang akan dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Kita (Sarawak) lihat dahulu apa keputusan Kerajaan Persekutuan," katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Zon Perindustrian Bebas Samajaya, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas serta Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian.

PKP dikuatkuasakan di Sarawak bermula 29 Mei hingga 11 Jun lalu, namun kemudian diselaraskan tempoh PKP seluruh negara sehingga 14 Jun.

Sarawak kemudian mengikut langkah Kerajaan Persekutuan apabila melanjutkan PKP dalam tempoh 14 hari lagi bermula 15 Jun hingga 28 Jun ini.

Ketika Kerajaan Persekutuan menguatkuasa PKP 2.0 di seluruh negara Januari hingga Februari lalu, Sarawak berkecuali dengan hanya melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sahaja.

Pada 19 Jun lalu, Dr Sim yang juga penasihat JPBN Sarawak berkata, PKP mungkin tidak akan dilanjutkan di Sarawak jika jumlah kes Covid-19 menurun.

Bagaimanapun, sejak beberapa hari lalu, kes positif harian Covid-19 di Sarawak masih melebihi 500.

Sementara itu, Abang Johari berkata, lebih satu juta dos vaksin Covid-19 sudah diagihkan di Sarawak dengan 40 peratus daripada populasi di negeri ini sudah menerima suntikan dos pertama.

Beliau berkata, usaha terus dipergiatkan bagi meningkatkan program imunisasi itu terutamanya di kawasan luar bandar serta kalangan pihak industri.

"Bagi kawasan luar bandar, kita kini menggerakkan segala keupayaan termasuk mendapat bantuan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi mempercepatkan proses vaksinasi.

"Sekarang juga kita giat menubuhkan PPV industri bagi menangani jangkitan Covid-19 di tempat kerja kerana dalam tempoh antara 29 Mei hingga 24 Jun ini sahaja, sebanyak 25 kluster tempat kerja direkodkan di Sarawak membabitkan 1,765 kes," katanya.

Menurutnya lagi, PPV industri amat penting dalam usaha memutuskan rantaian Covid-19 kerana pekerja datang dari pelbagai kawasan.

"Pekerja perlu divaksinasi segera kerana kita tidak mahu mereka menjadi penyebar wabak itu ke tempat lain terutamanya di kampung mereka.

"Di Zon Perindustrian Bebas Samajaya ini sahaja terdapat 12,600 pekerja dan jika mereka mendapat jangkitan di tempat kerja ia boleh merebak dengan cepat ke merata tempat," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Jun 2021 @ 5:05 PM