Nuraliawati Sabri

[email protected].

Melaka: Bapa lima anak dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini, hari ini, atas pertuduhan merogol anaknya, bulan lalu.

Tertuduh, 39, yang juga penganggur bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus dua pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Nariman Badruddin.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa dengan sengaja melakukan persetubuhan terhadap anak sulung berusia 18 tahun.

Justeru, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 30 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.

Manakala bagi pertuduhan mengikut Seksyen 377B, tertuduh didakwa melakukan persetubuhan yang bertentangan aturan tabii dengan persetujuan mangsa yang mana jika sabit kesalahan dia boleh dipenjara sehingga 20 tahun serta sebat.

TERTUDUH dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Ayer Keroh. FOTO Nuraliawati Sabri
TERTUDUH dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Ayer Keroh. FOTO Nuraliawati Sabri

Kedua-dua perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di rumah di Jasin, 23 Mei lalu.

Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Nabilalif Mohd Rosli yang tidak menawarkan sebarang jaminan.

Bagaimanapun, tertuduh, yang tidak diwakili peguam merayu agar jaminan rendah diberikan kerana dia menghidap penyakit gaut serta bergantung kepada bantuan bulanan agensi kerajaan selain isteri yang bekerja sebagai tukang cuci.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM14, 000 bagi kedua-dua pertuduhan selain menetapkan 26 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan lantikan peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Jun 2021 @ 1:32 PM