GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Hampir sebulan Sekatan Pergerakan Penuh (SPP) dikuatkuasakan, kes harian baharu masih belum dapat diturunkan bawah 4,000 untuk membolehkan Pelan Pemulihan Negara (PPN) beralih ke fasa dua.

Semalam, 5,841 kes harian baharu lagi dilaporkan sementara kes kumulatif Covid-19 negara yang melepas paras 700,000 pada 21 Jun 2021, meningkat kepada 716,847 kes. Kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 naik sedikit kepada 61,162 kes berbanding 60,816 kes pada 23 Jun 2021.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba baru-baru ini dipetik berkata, "purata kes Covid-19 di Malaysia perlu berada di bawah 4,000 kes sehari selama tujuh hari berturut-turut bagi membolehkan negara beralih ke fasa dua mengikut Pelan Pemulihan Negara (PPN)."

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan PPN yang terbahagi kepada empat fasa pada 16 Jun lalu berharap ia dapat mengembalikan kehidupan harian biasa.

SPP pula yang dikuatkuasakan bermula 1 Jun hingga 14 Jun 2021, disambung dua minggu lagi sehingga 28 Jun 2021.

Sementara itu, kluster baharu terutamanya kluster tempat kerja membabitkan kilang dan tapak binaan yang masih dikesan dan mencetuskan kes baharu dibimbangi boleh menggugat usaha mengawal penularan wabak Covid-19 di negara ini.

Setakat 24 Jun 2021, negara dibebani sebanyak 867 kluster yang masih aktif.

Secara keseluruhannya sebanyak 2,720 kluster direkod dan 1,853 daripadanya, dilaporkan tamat.

Rangkuman Mingguan Bernama 19 Jun hingga 24 Jun 2021 (Rangkuman Mingguan) berdasarkan data KKM merekod sebanyak 140 kluster baharu dan daripada jumlah itu, 85 kluster atau 60.7 peratus adalah kluster tempat kerja.

Semalam sahaja, sebanyak 30 kluster baharu dilaporkan dan 20 daripadanya adalah kluster tempat kerja!

Antara kluster tempat kerja yang dikesan semalam dengan kes Covid-19 yang tinggi adalah kluster Industri Jalan Seruling 57 (daerah Klang, Selangor).

Kluster ini hasil saringan bersasar di sebuah kilang dan 101 kes positif daripada 319 individu yang disaring.

Pada 20 Jun, KKM melaporkan kluster tempat kerja, Tapak Bina Persiaran Hamidiah (daerah Hulu Langat, Selangor), membabitkan pekerja tapak binaan di Persiaran Hamidiah, Kajang, Hulu Langat. Sebanyak 244 kes dikesan positif daripada 332 individu yang disaring.

Pada 19 Jun, antara kluster tempat kerja yang mencatat kes positif tinggi ketika diumumkan KKM adalah Kluster Tapak Bina Perdagangan Dana (daerah Petaling, Selangor), membabitkan pekerja tapak pembinaan di Pusat Perdagangan Dana 1, Petaling Jaya.

Seramai 324 kes dikesan positif Covid-19 setakat 19 Jun 2021, daripada 482 individu yang disaring.

Sepanjang Rangkuman Mingguan ini juga, hanya dua hari Malaysia merekod kes bawah 5,000 iaitu pada Isnin, 21 Jun (4,611 kes) dan Selasa, 22 Jun (4,743 kes). Kali terakhir Malaysa mencatat angka kes harian dalam lingkungan 4,000 adalah pada 18 Mei 2021 sebanyak 4,865 kes.

Paling tinggi kes harian baharu dilaporkan di Malaysia adalah pada 29 Mei 2021 iaitu sebanyak 9,020 kes, iaitu sejak kes pertama dikesan di negara ini pada 25 Januari 2020.

Jumlah kes Covid-19 di Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah sebanyak 869 kes dan 438 kes daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Dengan 716,847 kes kumulatif, Malaysia kini di tangga 36 (rangkuman mingguan lepas tangga 38) dalam senarai 216 buah negara yang dilanda pandemik Covid-19. Di hadapan Malaysia ialah Jordan (748,685 kes) dan Jepun (789,440 kes).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Jun 2021 @ 12:46 PM