Murid memgambil modul bercetak di pondok pengawal sekolah. FOTO ihsan Dr Pranchis Andin
Murid memgambil modul bercetak di pondok pengawal sekolah. FOTO ihsan Dr Pranchis Andin
Izwan Abdullah


Keningau: Penggunaan modul bercetak menjadi pilihan utama kebanyakan sekolah luar bandar bagi memastikan murid di kawasan terbabit dapat belajar sepanjang pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) .

Bagi Sekolah Kebangsaan (SK) Bunga Raya, modul bercetak disediakan guru mata pelajaran setiap minggu.

Guru Besar, Dr Pranchis Andin, berkata, meskipun kos menyediakan modul bercetak agak tinggi, hanya kaedah itu sesuai dilaksanakan ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan liputan telekomunikasi kurang memuaskan selain kekangan ibu bapa menyediakan peranti untuk anak.

Katanya, kaedah digital seperti Google Classroom, Google Meet dan Google Form atau aplikasi Whatsapp dan Telegram hanya digunakan sekali-sekala membabitkan murid yang memiliki peranti dan mendapat liputan Internet, khususnya yang tinggal berhampiran sekolah.

"Bagi PdPR kali ini, 80 peratus kaedah pengajaran dan pembelajaran dilaksanakan menggunakan modul bertulis yang disediakan guru seminggu sekali. Modul diletakkan di pondok pengawal sekolah bagi memudahkan murid atau ibu bapa mengambilnya.

"Hanya 20 peratus PDPR menggunakan kaedah digital memandangkan ramai yang tidak dapat mengikutinya atas sebab liputan telekomunikasi yang lemah terutama yang tinggal jauh dari kawasan sekolah," katanya ketika dihubungi, di sini.

Walaupun hanya terletak kira-kira 15 kilometer dari pekan Keningau, sekolah itu masih dikategorikan sebagai sekolah luar bandar berikutan kedudukannya di kawasan yang masih berdepan masalah perhubungan dan telekomunikasi.

Beliau berkata, murid dan ibu bapa dimaklumkan lebih awal mengenai penggunaan modul bercetak yang perlu diambil dan dikembalikan seminggu sekali di sekolah sepanjang tempoh PDPR kali ini.

Katanya, ketika PDPR sebelum ini, pihak sekolah mengambil inisiatif menghantar modul bertulis terus ke kampung atau rumah murid, namun kaedah itu dihentikan sementara sepanjang sekatan pergerakan penuh PKP 3.0 bagi mengurangkan risiko jangkitan Covid-19.

Beliau berkata, guru juga datang seminggu sekali untuk menghantar modul bertulis yang baharu dan mengambil modul yang dikembalikan murid di pondok pengawal sekolah sebagai langkah untuk meminimumkan pergerakan sepanjang tempoh PKP 3.0.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Jun 2021 @ 12:19 PM