Muhaamad Hafis Nawawi


Petaling Jaya : Pihak berkuasa yang menjalankan pemantauan prosedur operasi standard (SOP) tidak memerlukan waran untuk membuat pemeriksaan jika menerima aduan berkaitan sektor ekonomi beroperasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 melanggar syarat dibenarkan.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, melalui Ordinan Darurat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2021, apabila ada aduan, pasukan pematuhan boleh turun dan periksa terus tanpa perlu menunggu waran dikeluarkan.

"Jika melanggar syarat tidak perlu waran sebaliknya boleh terus membuat pemeriksaan di tempat itu, malah tindakan itu juga tidak menyalahi undang-undang.

"Hal ini kerana kita mengikut undang-undang sedia ada untuk memastikan semua SOP yang dikeluarkan itu dipatuhi dan sebab itu kita umumkan ia dari semasa ke semasa yang mana semua pihak perlu faham apa yang dilakukan oleh kerajaan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas membuat Pemantauan Pematuhan PKP 3.0 ke kilang pembuatan sarung kusyen kereta di Puchong dan Kilang Plastik, di sini, hari ini.

Hamzah berkata, dalam mesyuarat sebelum ini, beliau dilantik sebagai pengerusi bagi satu jawatankuasa penguatkuasaan dan pemantauan seluruh negara sebagai memastikan semua pihak mematuhi SOP ditetapkan, ia menunjukkan kerajaan tegas dalam menangani penularan Covid-19.

"Ramai majikan yang mematuhi SOP dengan tidak membuka kilang kerana ingin memastikan supaya PKP tidak disambung dan itu yang kita mahu.

"Jika angka Covid-19 kurang dari 4,000 kes sehari maka boleh ke fasa kedua dan melonggarkan sedikit tetapi ketika ini kita masih di fasa pertama, malah bagaimana hendak ke fasa kedua jika kes masih turun naik dari 5,000 ke 6,000 sehari," katanya.

DATUK Seri Hamzah Zainuddin  ketika melakukan lawatan pemantauan Pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 di Pusat Bandar Puchong. FOTO Mohd Fadli Hamzah
DATUK Seri Hamzah Zainuddin ketika melakukan lawatan pemantauan Pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 di Pusat Bandar Puchong. FOTO Mohd Fadli Hamzah

Katanya, sebab itu, semua majikan dinasihatkan tidak menipu dengan beroperasi tanpa kebenaran kerana orang luar di sana melihat dan jika ada aduan tindakan akan diambil.

Mengulas mengenai pemantauan hari ini, Hamzah berkata, melalui pemeriksaan di sebuah kilang di Puchong mendapati ia melanggar SOP dan menyalahgunakan kebenaran beroperasi diberikan apabila didapati jumlah pekerja yang bekerja melebihi daripada ditetapkan.

"Maka saya sudah meminta Ketua Polis Daerah Serdang untuk mengambil tindakan sewajarnya ke atas kilang itu dan dalam masa juga imigresen akan memeriksa semua pekerja kilang supaya mereka mengikut undang-undang ada dalam negara ini.

"Manakala, satu lagi kilang plastik di Petaling Jaya dilihat mematuhi SOP apabila jumlah pekerja mengikut jumlah dibenarkan malah tahniah diucapkan kerana menggunakan sistem nombor bagi memastikan pekerja yang hadir tidak melebihi daripada dibenarkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Jun 2021 @ 6:53 PM