FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Oleh Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Pengurusan masjid dan surau di negeri ini diseru supaya terus menyebarkan maklumat sahih berkaitan kepentingan pengambilan vaksin dalam usaha membantu kerajaan membentuk imuniti kelompok.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, pihaknya dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) sentiasa memperkasa peranan ahli jawatankuasa masjid dan surau di Selangor untuk membantu meningkatkan tahap kesedaran pendaftaran vaksin dalam kalangan kariah.

Menurutnya, peranan masjid dan surau bukan sahaja sebagai tempat beribadat malah perlu ditingkatkan sebagai pusat rujukan utama oleh kariah masjid atau surau berkenaan.

"Ini termasuk masjid dan surau sebagai pusat informasi dan penyebaran maklumat yang sahih kepada masyarakat sekitar berkaitan kepentingan mengambil vaksin Covid-19.

"Ketika ini, walaupun aktiviti bersemuka di masjid atau surau terhad, namun aktiviti dalam talian boleh dilaksanakan secara meluas seperti bacaan al-Quran, ceramah, tazkirah dan sebagainya bersama kariah, termasuk perkongsian dan seruan berkaitan pengambilan vaksin," katanya pada kenyataan hari ini.

Abdul Aziz berkata, saranan Mais juga berdasarkan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) Kali Ke-10 yang bersidang pada 3 Disember tahun lalu.

"Ia juga berdasarkan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor Bil. 1/2021 yang bersidang pada 9 Februari lalu yang mengambil ketetapan bahawa Hukum Penggunaan Vaksin Covid-19 adalah harus dan ia wajib diambil oleh golongan yang ditetapkan oleh kerajaan dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Mais berpandangan, keputusan itu sangat diberikan penekanan dalam Islam iaitu hifzu al-nafs atau memelihara nyawa malah umat Islam disyariatkan memelihara nyawa dan mengharamkan perbuatan yang akan menyebabkan nyawa terancam serta berada dalam kebinasaan.

"Keputusan ini juga selari dengan dalil firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 195 bermaksud: "Janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil)," katanya.

Justeru, bagi membantu pelaksanaan Pelan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) serta mencapai imuniti kelompok, Mais mengajak umat Islam, khususnya yang menetap di Selangor, untuk mengambil vaksin dengan mendaftar melalui aplikasi MySejahtera.

"Umat Islam diminta untuk meyakini bahawa vaksin yang ditawarkan oleh kerajaan adalah 'halal toyyiban' dan melalui proses penilaian yang ketat serta semakan daripada semua aspek.

"Kerajaan juga memberi jaminan bahawa ia selamat digunakan bagi membentuk imuniti kelompok," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Jun 2021 @ 3:30 PM