Polis merampas 1.4 tan daun ketum bernilai RM42,000 yang cuba diseludup ke Thailand selepas membongkar ‘port’ transit pembungkusan barang terlarang berkenaan di sebuah hutan belukar di Kampung Bukit Chabang, Padang Besar. FOTO IHSAN IPD PADANG BESAR
Polis merampas 1.4 tan daun ketum bernilai RM42,000 yang cuba diseludup ke Thailand selepas membongkar ‘port’ transit pembungkusan barang terlarang berkenaan di sebuah hutan belukar di Kampung Bukit Chabang, Padang Besar. FOTO IHSAN IPD PADANG BESAR
Aizat Sharif

Padang Besar: Polis merampas 1.4 tan daun ketum bernilai RM42,000 yang cuba diseludup ke Thailand selepas membongkar 'port' transit di kawasan belukar di Kampung Bukit Chabang di sini, Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Padang Besar Superintendan Saifudin Aslin Abbas berkata, sepasukan anggota Task Force Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar sedang melakukan rondaan di sekitar kampung berkenaan sebelum menerima maklumat mengenai kegiatan itu pada 2.30 petang.

"Anggota polis bertugas kemudiannya menemui 'sesuatu' yang dilitupi dengan kain kanvas warna putih selepas di kawasan belukar di belakang Bukit Chabang.

"Curiga dengan penemuan berkenaan, anggota polis terus melakukan pemeriksaan di sekeliling kawasan itu namun tidak menemui sesiapa yang berada di lokasi berkenaan.

"Pemeriksaan selanjutnya ditemukan 47 guni daun ketum seberat 1.4 tan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Menurutnya, pihaknya percaya bahawa lokasi berkenaan dijadikan sebagai 'port' transit pengedaran daun ketum ke Thailand menggunakan 'laluan tikus' yang banyak terdapat di kawasan sempadan Malaysia-Thailand.

"Kita mengesyaki lokasi itu dijadikan sebagai transit kepada sindiket penyeludupan daun ketum, bagaimanapun ia akan sentiasa berubah mengikut kepada keperluan semasa dan pemantauan polis serta agensi penguatkuasaan yang lain.

"Daun ketum yang dirampas itu dianggarkan bernilai RM42,000 dan kesemua rampasan kemudiannya dibawa ke IPD Padang Besar untuk siasatan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Jun 2021 @ 1:42 PM