KEADAAN lengang di sebuah pusat membeli-belah di USJ, Subang Jaya. FOTO arkib NSTP
KEADAAN lengang di sebuah pusat membeli-belah di USJ, Subang Jaya. FOTO arkib NSTP
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Tiga indikator ambang utama Pelan Pemulihan Negara penentu sama ada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 menyeluruh yang berakhir 28 Jun ini, disambung atau beralih ke fasa seterusnya.

Pakar Pakar Epidemiologi dan Ketua Jabatan Kesihatan Masyarakat Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Mohd Rohaizat Hassan berkata, setiap fasa pelan pemulihan berdasarkan data daripada tiga indikator itu.

Menurutnya, ia merujuk kepada bilangan kes harian Covid-19, kadar penggunaan katil di wad unit rawatan rapi (ICU) dan tahap populasi yang dilindungi berdasarkan peratusan menerima dua dos suntikan vaksin.

"Mengikut jangkaan peralihan fasa seterusnya akan berlaku pada Julai ini. Jadual peralihan itu adalah sebagai rujukan dan panduan kasar kerajaan untuk mencapai sasaran ditetapkan.

"Bagaimanapun, penilaian sebenar peralihan dari satu fasa ke fasa seterusnya bergantung kepada tiga indikator berkenaan," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Dr Mohd Rohaizat berkata, keputusan menyambung PKP 3.0 adalah berdasarkan pertimbangan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Katanya, mengikut data kes jangkitan harian mula menunjukkan tren penurunan, malah pemberian vaksin juga amat memberangsangkan iaitu melebihi 200,000 dos sehari.

Justeru, beliau yakin sasaran pelan pemulihan itu mampu dicapai dengan adanya Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bergerak dan swasta yang membantu usaha mempercepatkan program vaksinasi.

Semalam, media melaporkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keputusan sama ada PKP 3.0 disambung atau beralih ke fasa seterusnya akan diumumkan tiga atau dua hari sebelum 28 Jun ini.

Beliau berkata, pengumuman tidak akan dibuat dalam masa terdekat berikutan perlu menunggu lebih banyak data dianalisa KKM.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Jun 2021 @ 6:40 PM