Seorang jururawat memegang vaksin CanSino dari China. FOTO AFP.
Seorang jururawat memegang vaksin CanSino dari China. FOTO AFP.
Mohd Roji Kawi


Betong: Sarawak dijangka menerima bekalan vaksin dos tunggal, CanSino pada pertengahan bulan depan.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, kerajaan Sarawak sudah memohon 650,000 dos vaksin itu daripada Kerajaan Persekutuan dan ia sesuai untuk Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di kawasan pedalaman terutamanya dalam kalangan masyarakat Penan.

"Ini kerana penggunaan vaksin dos tunggal itu menjimatkan masa pasukan perubatan kita apabila hanya perlu mengunjungi kawasan itu sekali sahaja untuk melaksanakan program vaksinasi penduduk.

"Ia sekali gus mengurangkan kos logistik, pengangkutan dan lain-lain," katanya selepas meninjau Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dewan Masyarakat Spaoh, di sini hari ini.

Malaysia akan menerima sejumlah 3.6 juta vaksin CanSino keluaran CanSino Biologics Inc, China, bermula bulan depan.

Vaksin dengan dos tunggal itu sudah diluluskan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), sebelum ini.

Sementara itu, Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata, sehingga kini, sejumlah 910,595 orang sudah menerima vaksin dos pertama dan kedua di Sarawak.

"Semalam sahaja, seramai 54,746 orang menerima vaksin di Sarawak dan sebelum ini kita pernah mencapai 55,000 orang sehari," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Jun 2021 @ 4:42 PM