GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Hidayatidayu Razali
am@hmetro.com.my


Kota Bharu: Selepas lebih dua bulan Kelantan mencatatkan jumlah Covid-19 dengan tiga angka dan sehingga mencecah hampir 1,000 kes sehari, namun hari ini negeri itu merekodkan kes dengan dua angka.

Kes Covid-19 baharu yang dicatatkan Kelantan pada hari ini ialah sebanyak 81 kes.

Jumlah kes menyaksikan penurunan mendadak hari ini berbanding tempoh dua minggu lalu yang mencatatkan lebih 300 kes.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob menerusi Facebooknya meluahkan syukur atas penurunan kes Covid-19 itu selepas beberapa bulan mencatatkan kes harian yang tinggi.

Beliau turut menyeru kepada semua supaya bersama-sama berusaha dan berikhtiar bagi memutuskan rantaian penularan.

"Alhamdulillah, Kelantan mencatatkan penurunan kes kepada dua digit (81 kes) pada hari ini.

"Sama-sama kita teruskan berusaha dan berikhtiar bagi memutuskan rantaian penularan," katanya.

Semalam, Kelantan mencatatkan sebanyak 165 kes Covid-19 dan tiga kluster baharu.

Tiga kluster baharu berkenaan direkod membabitkan kluster komuniti iaitu masing-masing satu di Pasir Mas, Pasir Puteh dan Kota Bharu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Jun 2021 @ 4:08 PM