GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Noor Atiqah Sulaiman

Putrajaya: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) menganjurkan pertandingan Cabaran SPRM FIFA 21 bagi mendekati kumpulan belia yang meminati sukan e-sport.

SPRM dalam kenyataannya berkata, cabaran secara atas talian itu dicetuskan Ketua Pesuruhjayanya, Datuk Seri Azam Baki bagi menyebar luas mesej antirasuah dalam kalangan belia.

"Pertandingan ini adalah pendekatan serampang dua mata dengan sepanjang perlawanan akan diselitkan mesej antirasuah serta penerangan berkaitan jenayah rasuah di negara ini.

"Ia menyasarkan peminat e-sport yang kebanyakannya terdiri daripada golongan belia dan remaja dengan bertemakan Youth Against Corruption (Belia Melawan Rasuah).

"Penyertaan dalam pertandingan ini adalah percuma dan pendaftaran boleh dibuat sehingga 30 Jun ini," katanya tadi.

SPRM berkata, pada peringkat awal terdapat 13 negeri serta tiga Wilayah Persekutuan yang akan mula berentap bermula 1 hingga 16 Julai ini.

"Juara bagi setiap negeri akan layak ke peringkat akhir iaitu pada 17 Julai ini," katanya.

Pemenang pertandingan bakal membawa pulang hadiah wang tunai keseluruhan sebanyak RM20,000.

"Juara pertandingan akan membawa pulang wang tunai sebanyak RM5,000 diikuti Naib Juara (RM3,000) dan tempat ketiga (RM2,000).

"Bagi tempat keempat mereka akan membawa pulang sebanyak RM1,000 dan Top 8 (RM700); Top 16 (RM375) serta Top 32 (RM200)," katanya.

Tambahnya, pertandingan berkenaan akan disiarkan secara langsung menerusi laman Facebook rasmi Team Haq Esports Club dan SPRM Community.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Jun 2021 @ 7:01 PM