GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Amirul Aiman Hamsuddin


Kuala Selangor: Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Kuala Selangor akan mengambil pendekatan diplomasi berhubung isu laungan azan yang didakwa mengganggu waktu tidur penduduk bukan Islam di kawasan taman perumahan di Bandar Puncak Alam di sini.

Setiausaha Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) Dr Ahmad Shahir Makhtar berkata, sebagai institusi yang mengawal selia institusi agama di masjid dan surau, PAID Kuala Selangor juga diberi tanggungjawab untuk berjumpa dan memberi penerangan kepada penghuni taman perumahan terbabit.

Beliau berkata, kaedah diplomasi akan digunakan bagi memberi penjelasan yang sepatutnya susulan isu itu.

"PAID bertanggungjawab untuk berjumpa dan memberi penerangan kepada pihak berkaitan bagi memastikan isu ini tidak berpanjangan," katanya, tadi.

Beliau ditemui pada sidang media selepas melakukan penyerahan sumbangan pek makanan kepada petugas barisan hadapan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Berlian, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam, di sini.

Sehubungan itu, beliau menegaskan, pihak yang terbabit dengan perkara itu diminta untuk menghayati semula titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengenai kebenaran melaungkan azan di masjid dan surau di negeri ini.

"Kita kena ingatkan semula titah baginda, mungkin ada yang tidak perasan atau pun terlupa. Sebenarnya tiada masalah tentang perkara ini kerana azan boleh dilaungkan di Selangor," katanya.

Media sebelum ini melaporkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Mohd Shaid Rosli membuat laporan polis berhubung laungan azan Subuh yang didakwa mengganggu tidur penduduk bukan Islam di sebuah taman perumahan di Bandar Puncak Alam.

Mohd Shaid memaklumkan, pihaknya menerima panggilan daripada pengerusi surau perumahan berkenaan berhubung tindakan seorang ahli jawatankuasa perumahan itu memasuki surau tanpa kebenaran dengan berseluar pendek.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Jun 2021 @ 6:07 PM