GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin

Ampang Jaya: Tindakan tiga beradik menengking, membuat kecoh serta menolak anggota polis yang melakukan pemeriksaan di Jalan Merdeka, di sini, mengundang padah apabila mereka ditahan polis, semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 9 malam, di mana dua anggota polis dari Balai Polis Ampang sedang menjalankan tugas rondaan cegah jenayah.

"Mereka terserempak dengan kereta Honda berwarna putih dinaiki seorang lelaki melakukan kesalahan lalu lintas dengan melanggar lampu isyarat merah.

"Anggota polis menahan kenderaan itu dan meminta pengenalan diri pemandu. Ketika proses mengeluarkan saman, suspek menengking dan meninggikan suara dan mempersoalkan tindakan anggota berkenaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad Farouk berkata, selang beberapa minit kemudian, dua lelaki yang juga abang kandung kepada suspek pertama datang ke lokasi kejadian.

"Salah seorang abang kepada suspek (pertama) kemudian membuat kecoh dengan menjerit ke arah anggota itu dengan mempersoalkan tindakan pengadu memeriksa adiknya.

"Malah, suspek juga turut mengambil rakaman gambar dan video ketika kejadian. Ketika keadaan semakin kecoh, pihak polis mengarahkan semua suspek untuk ke balai.

"Namun, tiba-tiba salah seorang anggota polis ditahan dan ditolak sehingga terjatuh. Pihak polis terus membuat tangkapan terhadap tiga suspek berkenaan yang berusia antara 28 hingga 42 tahun," katanya.

Beliau berkata, tiada kecederaan serius dilaporkan berlaku dalam kejadian itu.

"Ujian saringan air kencing dilakukan mendapati semua suspek berkenaan yang berkerja sebagai mekanik negatif dadah, manakala semakan mendapati mereka tidak mempunyai rekod jenayah.

"Mereka direman selama empat hari bermula hari ini hingga 25 Jun ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 353/186 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Jun 2021 @ 5:16 PM