RAKYAT Malaysia masih perlu memakai pelitup muka kerana negara masih belum mencapai jumlah 80 peratus sudah divaksin. FOTO BERNAMA
RAKYAT Malaysia masih perlu memakai pelitup muka kerana negara masih belum mencapai jumlah 80 peratus sudah divaksin. FOTO BERNAMA
Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Rakyat di negara ini masih perlu memakai pelitup muka kerana negara masih belum mencapai jumlah 80 peratus sudah divaksin.

Ketika ini, jumlah penerima vaksin keseluruhan pada sekitar 10 peratus dan ia berisiko mendapat jangkitan, tetapi tidak melarat ke tahap kritikal.

Pakar Perunding Kecemasan dan Trauma Hospital Kuala Lumpur Datuk Dr Alzamani Mohammad Idrose berkata, apa yang membimbangkan ialah kumpulan berkenaan akan menyebarkan Covid-19 kepada mereka yang tidak dapat vaksin seperti kanak-kanak dan remaja.

"Malah ada varian baru yang boleh meledakkan semula virus walaupun sudah divaksin. Maka pakailah pelitup muka, patuhi Prosedur Operasi (SOP) dan jauhi manusia," katanya.

Beliau mengulas persoalan ditimbulkan sesetengah pihak mengenai mengapa masih perlu memakai pelitup muka serta SOP ditetapkan sedangkan ramai dalam kalangan masyarakat sudah lengkap dua dos vaksin.

Beliau berkata, wujud golongan tertentu tidak bersandarkan sains dan suka berteori dan menuduh orang berkonspirasi.

"Sedangkan mereka sendiri yang berkonspirasi untuk menyebarkan dakyah yang tidak benar," katanya.

Kepada persoalan mengapa ada negara yang tidak perlu lagi mengenakan pelitup muka, Dr Alzamani berkata, sebelum ini wabak itu mengganas di serata dunia ketika masyarakat belum divaksin.

Mengambil contoh Amerika Syarikat, negara kuasa besar itu membuka pelitup muka hanya selepas 40 peratus rakyatnya divaksin yang menyebabkan kes turun mendadak.

"Di United Kingdom, selepas program vaksin melebihi 50 peratus, kematian sudah mencapai angka kosong.

"Pihak berkuasa akan juga meneliti nilai R-naught, yakni kebolehjangkitan Covid-19. Hanya jika nilainya rendah, pengubahsuaian SOP boleh dibuat seperti kebenaran untuk tidak memakai pelitup muka," katanya.

Mengenai fakta bahawa Covid-19 ini sangat berbahaya walaupun peratusan pulih jangkitan tinggi, beliau berkata, virus berkenaan mempunyai lima kategori.

Katanya, di Malaysia, 20 peratus daripada pesakit adalah daripada kategori tiga hingga lima manakala 80 peratus lagi pada kategori satu dan dua, iaitu tiada simptom atau gejala ringan.

"Jadi, kalau dijangkiti Covid-19 kategori satu atau dua, maka anda akan pulih dan perlu pemerhatian ringan malah ada yang hanya kuarantin di rumah.

"Cuma, kita tidak dapat menjangka siapa akan dapat kategori apa. Di hospital saya, ramai dalam kategori tiga hingga lima termasuk golongan muda tanpa penyakit lain.

"Macam virus denggi, ramai yang sembuh tapi ramai juga yang meninggal dunia. Cuma denggi ini jangkitannya melalui nyamuk. Covid-19, cukup duduk dekat dan bercakap tanpa pelitup muka, boleh dijangkiti," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Jun 2021 @ 7:33 PM