MOHD Arifin (dua dari kiri di barisan belakang) menyaksikan penyerahan cek replika sumbangan dari MUIS dan Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah serta penyampaian bakul makanan oleh YADIM bertempat di Pejabat Daerah Kecil Menumbok. FOTO Ihsan Pejabat Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah
MOHD Arifin (dua dari kiri di barisan belakang) menyaksikan penyerahan cek replika sumbangan dari MUIS dan Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah serta penyampaian bakul makanan oleh YADIM bertempat di Pejabat Daerah Kecil Menumbok. FOTO Ihsan Pejabat Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah
Rafiqah Dahali

Beaufort: Kerajaan Sabah belum membuat keputusan berhubung pelaksanaan ibadah korban pada Aidiladha tahun ini walaupun terdapat penurunan jumlah kes harian Covid-19 di negeri ini.

Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata, kerajaan negeri masih dalam proses perbincangan dengan Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Majlis Fatwa Negeri Sabah dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS).

Katanya, pihaknya juga akan meminta nasihat daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) berhubung perkara itu.

"Sama ada kita mendapat kelulusan untuk melaksanakan ibadah korban tahun ini atau sebaliknya, kita akan akur dengan segala arahan demi menjaga keselamatan dan membendung Covid-19," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Program Penyerahan Sumbangan Musaadsah 3.0 Kepada Pekerja-Pekerja Bot Laju Menumbok-Labuan bertempat di Pejabat Daerah Kecil Menumbok di sini, hari ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Penyu, Datuk Limus Jury; Setiausaha MUIS, Ramlan Awang Ali; Pengurus Besar Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah, Salman Nurillah; Pengarah YADIM Sabah, Samin Ongki dan Pegawai Daerah Kuala Penyu, Sebastian Ingkim.

Berkaitan program hari ini, Mohd Arifin berkata, MUIS, Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah dan YADIM menyumbang bantuan kewangan dan bakul makanan untuk pengusaha dan pekerja bot laju Menumbok -Labuan yang terjejas ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurutnya, MUIS menyumbangkan sebanyak RM5,000 dan Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah memberi sumbangan kewangan sebanyak RM13,000 kepada golongan terbabit.

Manakala YADIM memberi sumbangan berbentuk bakul makanan kepada 130 orang penerima dari golongan pengusaha dan pekerja bot tersebut.

"Kita berharap mudah-mudahan usaha ini akan dapat membantu untuk mengurangkan sedikit bebanan yang dihadapi mereka disamping itu akan mengemukakan dengan kerajaan negeri mengenai cara bagaimana kita dapat membantu mereka," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Jun 2021 @ 2:28 PM