Mohd Roji Kawi


Kota Samarahan: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan membuka hospital medan di Labuan berikutan peningkatan mendadak kes jangkitan COVID-19 di pulau berkenaan.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pasukan teknikal ATM khususnya dari Kor Kesihatan Diraja (KKD) akan digerakkan ke Labuan pada Selasa ini untuk meneliti keperluan penubuhan hospital medan itu.

Beliau berkata, mengikut perancangan, hospital medan berkenaan dijangka mula beroperasi pada 27 Jun ini.

"Peningkatan mendadak kes Covid-19 di Labuan sejak beberapa minggu lalu menyebabkan kita terpaksa mengambil pendekatan membuka hospital medan di pulau itu.

"Hospital medan di Labuan itu nanti akan mempunyai 90 katil dan dilengkapi empat katil di Unit Rawatan Rapi (ICU)," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau program vaksinasi pandu lalu Tentera Darat Malaysia (TDM) di Kem Muara Tuang di sini, hari ini.

Hadir sama Panglima ATM Jeneral Tan Sri Affendi Buang, Panglima TDM Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Seri Muez Abdul Aziz dan Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, seramai lapan doktor dibantu 30 anggota paramedik ATM akan digerakkan ke Labuan bagi mengendalikan hospital yang ditubuhkan bersama Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (MERCY Malaysia) itu.

"Hospital medan perlu ditubuhkan di Labuan kerana kini seluruh pulau itu sudah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD)," katanya.

Sehingga kini, sebanyak 6,828 kes positif direkodkan di pulau itu dengan hari ini sahaja sebanyak 185 kes baharu dilaporkan.

Ismail Sabri bercakap pada sidang media selepas melawat pusat pemberian vaksin (PPV) Pandu Lalu Tentera Darat Zon Sarawak di Kem Muara Tuang Kota Samarahan. FOTO BERNAMA
Ismail Sabri bercakap pada sidang media selepas melawat pusat pemberian vaksin (PPV) Pandu Lalu Tentera Darat Zon Sarawak di Kem Muara Tuang Kota Samarahan. FOTO BERNAMA

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, ATM akan menggerakkan aset serta anggotanya bagi membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan kerajaan Sarawak mempercepatkan program vaksinasi di kawasan pedalaman.

"ATM akan membantu menghantar vaksin serta bantuan anggota untuk melaksanakan vaksinasi yang akan digerakkan dengan aset seperti helikopter Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), kenderaan darat dan juga melalui sungai.

"Pelaksanaan Combat Medic Vaccination Team (CMVT) ini adalah bantuan yang ATM tawarkan kepada kerajaan Sarawak dalam usaha mempercepatkan program vaksinasi di negeri ini," katanya.

Beliau berkata, sebagai permulaan CMVT akan digerakkan ke Ba'kelalan di pedalaman Limbang, Sang Apau, Long Busang dan Long Unai di Kapit serta di Nanga Ngungun di Kanowit dan akan digerakkan ke lokasi lain jika menerima permintaan daripada kerajaan negeri.

Mengenai program vaksinasi pandu lalu di Kem Muara Tuang, beliau berkata, ia akan memberi kemudahan vaksinasi kepada 7,023 anggota tentera dan keluarga mereka serta kakitangan awam Kementerian Pertahanan yang bertugas di kawasan Kuching.

"Program itu akan dilaksanakan selama lima hari bermula hari ini hingga Rabu depan. Selain di Kem Muara Tuang, program sama turut dilaksanakan di Kem Oya di Sibu.

"Selain anggota tentera, keluarga dan staf awam, program vaksinasi pandu lalu di kem tentera itu juga memberi kemudahan kepada veteran tentera dan isteri mereka serta orang awam yang berada berdekatan dengan kem," katanya.

"Program itu akan dilaksanakan selama lima hari bermula hari ini hingga Rabu depan.

"Selain di Kem Muara Tuang, program sama turut dilaksanakan di Kem Oya di Sibu," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Jun 2021 @ 7:08 PM