Aminuddin Harun
Aminuddin Harun
Mohd Amin Jalil


Seremban: Pusat Pemberian Vaksin (PPV) mega di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Nilai, di sini, dijangka akan dapat memulakan operasinya pada 28 Jun hadapan.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) sudah memberikan kelulusan bagi membuka pusat berkenaan.

"Pada peringkat awal, PPV mega ini boleh memuatkan kapasiti 1,500 individu yang bakal menerima suntikan vaksin sehari. Jumlah itu kemudian ditingkatkan kepada 3,000 dos vaksin sehari bermula 5 Julai depan.

"Pembukaan PPV mega ini sebagai salah satu usaha kerajaan negeri untuk mencapai imuniti kelompok dengan lebih cepat.

"InsyaAllah, semoga usaha ini dapat memastikan pandemik Covid-19 dalam Negeri Sembilan terkawal dan seterusnya agenda pemulihan dapat dilaksanakan dengan segera," katanya tadi.

Beliau berkata, melalui usaha itu, dijangka dapat menaikkan jumlah vaksinasi harian, daripada 13,184 orang sehari kepada kira-kira 19,000 orang sehari di Negeri Sembilan.

Menurutnya, dalam tempoh sebulan, proses vaksinasi ini boleh dilakukan terhadap 480,900 orang.

"Bagaimanapun, usaha itu juga bergantung kepada jumlah kemasukan vaksin ke negara ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Jun 2021 @ 6:09 PM