ANTARA penerima sumbangan daripada WeListenMy. FOTO Ihsan Hamira Izzatie Sabarin
ANTARA penerima sumbangan daripada WeListenMy. FOTO Ihsan Hamira Izzatie Sabarin
Hajar Umira Md Zaki


Kuala Lumpur: Meskipun sekadar memiliki dana yang terhad, ia tidak sesekali melunturkan semangat badan bukan kerajaan (NGO), WeListenMy menyalurkan sumbangan keperluan makanan kepada golongan yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Pengasas WeListenMy Hamira Izzatie Sabarin berkata, pihaknya ketika ini menerima sehingga 700 keluarga yang memohon bantuan menerusi kempen WeListenPack sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya hanya dapat menyalurkan sumbangan kepada 300 keluarga sahaja kerana dana bantuan diperuntukkan berjumlah RM20,000 sahaja.

"Pun begitu, saya memaklumkan kepada ahli (WeListenMy), kita tidak akan berhenti memberi bantuan kerana banyak keluarga yang sangat memerlukan bantuan buat masa ini,

"Untuk minggu ini, kami meneruskan bantuan kepada 300 keluarga, insya-Allah kami akan membantu sehingga 500 keluarga menerusi kempen WeListenPack ini," katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Hamira Izzatie berkata, kempen WeListenPack ini akan berlangsung sepanjang PKP 3.0 dan memfokuskan penerima dalam kalangan golongan B40 serta M40 yang kehilangan punca pendapatan.

Berkongsi pengalaman sepanjang menyampaikan bantuan kepada yang memerlukan, Hamira Izzatie paling terkesan apabila menerima permohonan daripada sebuah keluarga dari Perak yang kehilangan punca pendapatan akibat pandemik ini.

Katanya, keluarga berkenaan bergaji harian dan hilang punca pendapatan berikutan PKP kali ini dan terpaksa menyara enam anak.

"Anak yang sulung beritahu saya, dia dan adik ada kala terpaksa berpuasa kerana makanan tidak cukup dan terpaksa mendahulukan adik yang masih kecil.

"Saya cukup tersentuh keluarga berkenaan tidak meminta wang, hanya memohon bantuan makanan kerana mereka terpaksa mencatu makanan ketika itu," katanya.

Sementara itu, Hamira Izzatie turut menceritakan kisah sebuah keluarga dari Pekan, Pahang yang mana bapa keluarga berkenaan diserang strok dan tidak dapat bekerja.

"Kami dihubungi oleh anak mereka, seorang pelajar yang mengadu mereka tidak mempunyai keperluan dapur dan tiada bahan makanan.

"Malah, punca pendapatan keluarga berkenaan sepenuhnya bergantung pada gaji harian, namun sejak bapa mereka diserang strok, mereka hilang punca pendapatan sepenuhnya.

"Kami menghulurkan sumbangan barangan keperluan asas kepada keluarga itu, selain memaklumkan masalah mereka itu kepada pihak berkuasa untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Jun 2021 @ 5:29 PM