GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Oleh Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Pakar kesihatan berpandangan bahawa belum ada keperluan mendesak untuk melakukan pemvaksinan Covid-19 terhadap kanak-kanak buat masa ini.

Ini kerana, keutamaan adalah memastikan golongan berisiko teruk jika dijangkiti Covid-19 divaksin terlebih dahulu.

Pakar Bedah Pediatrik Avisena Women's and Children's Specialist Hospital Shah Alam, Dr Syariz Izry Sehat berkata, sekatan yang mengehadkan pergerakan dalam keadaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta penggunaan sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sudah mengurangkan risiko golongan kanak-kanak untuk dijangkiti.

Justeru, katanya, keutamaan vaksin adalah perlu untuk golongan mempunyai risiko lebih tinggi, sejajar dengan yang diputuskan oleh kerajaan.

"Selepas petugas barisan hadapan, golongan risiko tinggi yang perlu mengambil vaksin dalam fasa ini seperti orang tua dan berpenyakit serta untuk mana-mana sektor pekerjaan lain yang mempunyai risiko pendedahan kepada Covid-19.

"Hanya ada beberapa negara sahaja baru meluluskan penggunaan vaksin kepada kanak kanak. Bagaimanapun terhad kepada umur 12 tahun ke atas dan negara kita sudah pun mula mengambil langkah yang sama," katanya.

Beliau berkata, untuk julat umur yang lebih rendah iaitu kanak-kanak bawah 12 tahun , belum ada dapatan kajian klinikal yang menjamin keselamatan penggunaan vaksin.

"Justeru, adalah lebih baik untuk kita tunggu sehingga ada kajian yang membuktikan keselamatan penggunaannya.

"Buat masa ini, untuk keselamatan anak-anak, teruskan langkah pencegahan universal yang disarankan iaitu penjarakan sosial, memakai pelitup muka dengan sebaik-baiknya dua lapis, sanitasi dan seeloknya kekal di rumah," katanya.

Pakar Paediatrik Mawar Medical Centre Seremban, Dr Mohd Zaqrul Razmal Mohd Podzi berkata, golongan berkenaan, walaupun dijangkiti tidak memberikan kesan yang banyak daripada segi komplikasi teruk atau kematian.

Beliau berkata, jadi sepatutnya, pada ketika ini, keutamaan perlu diberikan kepada golongan berisiko tinggi.

"Apa pun, kita mahu menuju kepada negara yang produktif, jadi siapa yang patut kita dahulukan? Itu persoalannya.

"Jika kita kata nak buka sektor ekonomi, jadi orang yang aktif serta berfungsi dalam sistem ekonomi yang mesti kita dahulukan.

"Peniaga, penjaja, pekerja kilang, bank, kedai makan, pemborong, e-hailing, teksi, guru dan sebagainya," katanya.

Selain itu, katanya, ramai lagi golongan berusia 60 tahun ke atas atau 40-an tetapi mempunyai pelbagai penyakit belum lagi divaksin.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Jun 2021 @ 5:20 PM