Nur Izzati Mohamad


Butterworth: Seorang lelaki sanggup merentas daerah untuk bertemu kekasihnya sebelum kedua-duanya ditahan polis selepas dipercayai berkhalwat di sebuah kondominium di Jalan Chain Ferry, di sini, malam tadi.

Pasangan berusia lingkungan 20-an itu ditahan selepas polis menerima laporan berhubung kegiatan tidak bermoral itu ketika mengadakan operasi pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, kedua-dua pasangan itu diserahkan kepada Jabatan Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JAINPP) untuk siasatan selanjutnya.

"Siasatan awal mendapati lelaki itu merentas daerah dari Seberang Perai Tengah ke Seberang Perai Utara untuk berjumpa kekasihnya di kondominium berkenaan dan dipercayai berkhalwat.

"Berikutan kesalahan merentas daerah, polis mengeluarkan kompaun RM5,000 ke atas lelaki berkenaan dan kedua-dua pasangan itu ditahan untuk siasatan JAINPP," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Beliau berkata, dalam operasi pematuhan SOP yang dijalankan antara jam 9 malam hingga 12.01 tengah malam itu, polis mengeluarkan 14 kompaun berjumlah RM42,000.

Anggota polis melakukan pemeriksaan terhadap pasangan kekasih dipercayai berkhalwat yang menyewa inap desa dalam serbuan di sebuah kondominium di Jalan Chain Ferry di sini. FOTO DANIAL SAAD
Anggota polis melakukan pemeriksaan terhadap pasangan kekasih dipercayai berkhalwat yang menyewa inap desa dalam serbuan di sebuah kondominium di Jalan Chain Ferry di sini. FOTO DANIAL SAAD

"Selain serbuan di kondominium, polis turut menjalankan serbuan dan pemeriksaan di beberapa lokasi sekitar Butterworth.

"Hasilnya, polis menemui beberapa individu yang masih ingkar untuk mematuhi SOP apabila berkumpul tanpa penjarakan fizikal dengan melakukan aktiviti tidak dibenarkan dan tidak mengimbas MySejahtera," katanya.

Noorzainy berkata, walaupun berkali-kali nasihat diberikan berhubung pematuhan SOP namun masih ada lagi yang berdegil dan enggan mematuhinya.

"Polis tidak akan berhenti dan akan terus memastikan orang awam patuh pada arahan serta mengambil tindakan sewajarnya terhadap mereka yang ingkar dalam usaha memerangi penularan wabak Covid-19," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Jun 2021 @ 5:07 PM