Najmi Ahmad
Najmi Ahmad
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Kerajaan negeri Kedah tidak mempunyai halangan untuk membenarkan ibadah korban sempena Aidiladha bulan depan.

Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pendidikan dan Sumber Manusia negeri, Datuk Najmi Ahmad berkata, perkara itu akan ditetapkan pada mesyuarat bersama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK) dan Jabatan Mufti Kedah Selasa ini.

"Pada asasnya ibadah korban akan dibenarkan dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

"Kita sudah ada pengalaman tahun lalu, ia berjalan dengan baik walaupun kita sedang berdepan dengan pandemik Covid-19.

"Kita akan bincang mengenai SOP yang sesuai mengikut situasi semasa Covid-19 di negeri ini," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Najmi berkata, mesyuarat itu turut akan memperincikan mengenai perkembangan penyakit kulit kental (LSD) di negeri ini.

Bagaimanapun, katanya beliau difahamkan penyakit itu tidak terlalu serius dan maklumat lanjut mengenai penyakit itu perlu diperoleh daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Kedah.

"Jika banyak lembu import atau lembu tempatan yang dijangkiti LSD, ia tidak boleh menjadi haiwan korban kerana berkait dengan hukum sah korban itu sendiri.

"Ini isu sampingan yang perlu dilihat, saya akan maklumkan mengenai perkara ini selepas mesyuarat nanti," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Jun 2021 @ 4:34 PM