LAPORAN terdahulu Harian Metro
LAPORAN terdahulu Harian Metro
Muhammad Saufi Hassan


Kuala Lumpur: Sah palsu. Itu pengesahan Jabatan Kimia Malaysia susulan aduan tandatangan seorang ahli perniagaan dimanipulasi ejen syarikat insurans terkemuka.

Presiden Persatuan Pengguna Melayu Malaysia (PPMM) Che Hassan Che Johan berkata, perkara itu dimaklumkan kepadanya semalam selepas beberapa bulan aduan dibuat.

Katanya, sebagai susulan, pihaknya akan membawa isu berkenaan ke tengah sebagai pengajaran kepada pengguna lain agar meneliti apa juga dokumen yang memerlukan tandatangan agar tidak dimanipulasi.

"Ini adalah langkah pertama PPMM. Kita mahu sampaikan mesej bahawa penipuan dan cubaan mengelirukan pengguna ini berlaku dalam banyak keadaan.

"Apa yang penting, kita tahu hak kita dan sedia memberikan kerjasama termasuk membuat laporan polis," katanya kepada Harian Metro.

Harian Metro Disember lalu melaporkan, seorang ahli perniagaan buntu selepas mendapati tandatangannya digunakan tanpa kebenaran untuk memperbaharui polisi insurans sejak sepuluh tahun lalu.

Perkara itu disedarinya selepas mempersoalkan mengapa insurans yang diambilnya hampir 15 tahun lalu tidak dapat digunakan untuk membiayai pembedahan penyakit berkaitan organ dalaman yang dihidapinya.

Mangsa yang mahu dikenali sebagai Radzi, 50-an, berkata, sebelum ini dia pernah menjalani rawatan di sebuah pusat perubatan swasta beberapa tahun lalu menggunakan insurans sama namun tidak ada apa-apa masalah.

Sementara itu, Che Hassan berkata, pihaknya akan membawa perkara itu ke mahkamah untuk memberi keadilan kepada pengadu dan pengguna keseluruhannya.

Katanya, pada peringkat ini, PPMM sudah pun melantik peguam untuk mewakili pengadu kerana jelas apa yang dilakukan syarikat insurans itu adalah salah.

"Bagaimanapun, kita menawarkan pilihan penyelesaian di luar mahkamah, asalkan pengadu diberikan pampasan atau yang setaraf," katanya.

Berita berkaitan

Tandatangan palsu ubah polisi insurans

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Jun 2021 @ 4:31 PM