FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Ruwaida Md Zain


Kuala Langat: Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) akan memastikan semua subsektor di bawah kementerian itu yang dibenarkan beroperasi akan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dengan ketat.

Menterinya, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, beliau juga sudah mengarahkan supaya agensi-agensi memastikan semua industri subsektor yang berkaitan mematuhi SOP.

"Untuk makluman subsektor perabot dan pembekalan produk kayu-kayan dibenarkan untuk menyediakan kemudahan di hospital, Pusat Pemberian Vaksin (PPV), Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah COVID-19 (PKRC) dan lain-lain berkaitan Covid-19.

"Majlis Keselamatan Negara (MKN) sudah membenarkan aktiviti 'loading' dan 'unloading' di kilang dan gudang hanya membabitkan penghantaran barangan atau kargo dalam simpanan stok (stockpile) sedia ada untuk tujuan eksport sahaja dari jam 8 pagi hingga 8 malam pada Isnin, Rabu dan Jumaat," katanya menerusi Facebook rasminya tadi,

Dalam pada itu katanya, KPPK akan memastikan Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dapat dilaksanakan dan mencapai matlamat dengan segera.

"Justeru itu, KPPK akan melaksanakan projek rintis bagi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang akan memberi fokus kepada sektor perladangan sawit tidak lama lagi membabitkan 5,000 pekerja di seluruh Selangor dalam masa terdekat.

"KPPK juga merancang untuk bekerjasama dengan MITI untuk melancarkan lagi Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) membabitkan subsektor lain di bawah sektor komoditi.

"Ayuh mari kita sama-sama berdoa supaya negara yang kita cintai ini dapat keluar daripada pandemik COVID-19 dengan segera dan seluruh rakyat dapat menjalani kehidupan seperti sediakala," katanya.

Terdahulu, beliau turut melakukan lawatan mengejut ke kilang perabot di kawasan perindustrian perabot di Olak Lempit, Banting di sini, bagi melihat sendiri pematuhan prosedur operasi standard (SOP) oleh kilang-kilang perabot.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Jun 2021 @ 3:40 PM