HAMZAH bertanya sesuatu kepada pengunjung ketika membuat pemantauan di Pasaraya AEON, IOI Mall, Puchong. FOTO Azhar Ramli
HAMZAH bertanya sesuatu kepada pengunjung ketika membuat pemantauan di Pasaraya AEON, IOI Mall, Puchong. FOTO Azhar Ramli
Nurul Hidayah Bahaudin


Puchong: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan membawa cadangan membenarkan bahagian jualan alat tulis dibuka sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, langkah itu diambil susulan rungutan orang awam yang berdepan kesukaran mendapatkan alat tulis untuk digunakan anak-anak dalam sesi pembelajaran.

"Berdasarkan tinjauan saya di sebuah pusat beli-belah hari ini, ada pelanggan minta supaya bahagian alat tulis dibuka.

"Pembukaan bahagian itu ada kewajarannya. Penggunaan alat tulis dilihat sebagai 'essential' (penting) untuk proses pembelajaran anak.

"Melihat kepada perkara itu, kita boleh buat pengubahsuaian dari semasa ke semasa mengikut keperluan seperti yang kita pelajari daripada fasa PKP sebelum ini," katanya pada sidang media selepas membuat tinjauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKP 3.0 di sebuah pusat beli-belah, di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Dan Ketenteraman Awam (Gerakan), Bukit Aman, Datuk Mastor Mohd Ariff dan Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Azman Adam.

Terdahulu, Hamzah turut membuat tinjauan pematuhan SOP PKP di dua kilang di Salak Tinggi dan Dengkil, Sepang.

Hamzah berkata, tujuan tinjauan di sebuah kilang di Salak Tinggi itu bagi melihat sendiri pematuhan SOP PKP selepas lebih 100 pekerja dijangkiti Covid-19.

"Saya mahu melihat cara individu bekerja di kilang itu dan lokasi yang mungkin sesak di dalam premis berkenaan seperti kantin mereka.

"Kita khuatir kantin itu menjadi tempat penularan jangkitan dan hasil pemeriksaan dilakukan mendapati tempat makan itu sudah ditutup.

"Selain pematuhan SOP, semua majikan dan pengurusan kilang perlu membuat penambaikan dari semasa ke semasa untuk kebaikan bersama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Jun 2021 @ 3:08 PM