Tapir yang cedera dilanggar di Kilometer 26, Jalan Dungun-Bukit Besi,  dekat Kampung Pinas Mas. FOTO ROSLI ILHAM
Tapir yang cedera dilanggar di Kilometer 26, Jalan Dungun-Bukit Besi, dekat Kampung Pinas Mas. FOTO ROSLI ILHAM
Rosli Ilham


Dungun: "Saya memberhentikan kenderaan sebaik melihat tapir itu menggelupur di tepi jalan dan tidak boleh berjalan sebelum mendapati kedua-dua kaki belakangnya patah."

Begitu kata pemandu lori sampah, Zulkifli Idris, 47, menceritakan kejadian seekor tapir ditemui dalam keadaan cedera di Kilometer 26, Jalan Dungun-Bukit Besi dekat Kampung Pinang Mas, di sini, hari ini.

Zulkifli yang bertugas di Majlis Perbandaran Dungun berkata, ketika itu dia dalam perjalanan dari Bandar Dungun untuk mengangkat sampah di Bukit Besi.

"Saya tiba di kawasan itu kira-kira 8.45 pagi dan percaya tapir yang dianggarkan seberat lebih 200 kilogram itu baru dilanggar.

"Tiada sebarang kenderaan di situ, kalau kereta yang melanggarnya mungkin kenderaan itu rosak teruk dan tidak boleh bergerak," katanya.

Katanya, dia menghubungi talian kecemasan untuk memaklumkan kejadian dan perkara itu dirujuk kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan lanjut.

"Saya berharap haiwan itu selamat sebelum meneruskan perjalanan ke Bukit Besi untuk bekerja," katanya.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan Terengganu, Dr Abdul Malek Mohd Yusuf ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.

Menurutnya, sebaik laporan diterima, sepasukan anggota Perhilitan Daerah Dungun dihantar ke lokasi kejadian.

"Kita pantau dan rawat tapir terbabit. Sekiranya haiwan itu cukup sihat, kita lepaskan semula ke hutan dan jika sebaliknya tapir itu akan dibawa untuk rawatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Jun 2021 @ 2:22 PM