Lembaga TH anjur program Lambaian Rindu Baitullah.
Lembaga TH anjur program Lambaian Rindu Baitullah.
Samadi Ahmad


Putrajaya: Lembaga Tabung Haji (TH) akan menganjurkan program Lambaian Rindu Baitullah bersama bakal jemaah haji seluruh negara Isnin ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, Rohtak berkenaan akan disiarkan secara langsung melalui akaun YouTube TH pada 11 pagi.

Beliau berkata, beliau sendiri akan menyertai program itu dan berbual santai bersama bakal haji.

Menurutnya, kerinduan bakal haji yang tertangguh sudah masuk tahun yang kedua dan Zulkifli pasti semua bakal jemaah haji berada dalam keadaan sedih.

Katanya, bakal haji juga sudah selesai mengikuti Kursus Asas Haji selain pengambilan vaksin Covid-19 yang ditetapkan.

"Namun, kita akur dengan keputusan Kerajaan Arab Saudi yang sudah pasti mempunyai 1,001 hikmah.

"Menjunjung kasih Khadimul Haramain Al-Syarifain Raja Salman Abdulaziz dan sekalung penghargaan buat Kerajaan Arab Saudi atas khidmat bakti dalam pengurusan jemaah haji khususnya daripada Malaysia sejak sekian lama," katanya melalui hantaran dalam akaun Facebooknya, hari ini.

Zulkifli berkata, beliau juga mengambil maklum luahan disuarakan kebanyakan jemaah haji negara ini.

Katanya, suasana pandemik Covid-19 yang menghimpit emosi dan mental pastinya menambah keadaan sekarang menjadi lebih mencabar.

Pada 12 Jun lalu, Kerajaan Arab Saudi mengumumkan akan membenarkan 60,000 penduduk negara itu yang diberi vaksin untuk menunaikan haji tahunan ini.

Kementerian hajinya menyatakan, ibadat haji tahun ini akan dibuka untuk warganegara dan warga asing yang berada di Arab Saudi sahaja.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Jun 2021 @ 12:08 PM