Keadaan ladang ternakan ayam yang musnah terbakar di Jalan Kuantan-Segamat, Batu 8, Kuantan. FOTO  ihsan JBPM Pahang
Keadaan ladang ternakan ayam yang musnah terbakar di Jalan Kuantan-Segamat, Batu 8, Kuantan. FOTO ihsan JBPM Pahang
Asrol Awang


Kuantan: Kira-kira 7,000 ayam mati dalam kebakaran di sebuah ladang ternakan ayam di Jalan Kuantan-Segamat, Batu 8, di sini, pagi ini.

Pegawai Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Norhisham Che Mohd Nor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 6.34 pagi berhubung kejadian itu.

Katanya, seramai 16 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Chini, Pekan dan BBP Taman Tas, di sini, dihantar ke lokasi kejadian.

"Dua jentera digunakan dalam operasi pemadaman dan anggaran kemusnahan ladang ternakan ayam adalah 90 peratus.

"Berdasarkan maklumat pemilik ladang ternakan, anggaran ayam ternakan yang mati terbakar adalah 7,000 ayam manakala 3,000 ayam lagi dapat diselamatkan," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, setakat ini, punca kebakaran masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Jun 2021 @ 12:04 PM