KAYU oak merah dirampas Maqis. FOTO Ihsan Maqis
KAYU oak merah dirampas Maqis. FOTO Ihsan Maqis
Ruwaida Md Zain


Pelabuhan Klang: Sejumlah 28.7 tan kayu oak merah dari Amerika Syarikat (AS) ditahan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) di Pelabuhan Klang Utara, di sini, Khamis lalu.

Pengarah Maqis Negeri Selangor, Zamri Hashim berkata, kayu oak merah yang dibawa masuk oleh sebuah syarikat tempatan itu ditahan oleh penguat kuasa Maqis hasil pemeriksaan rutin yang dijalankan pada 11 pagi.

"Kayu itu ditahan atas kesalahan tidak mematuhi syarat import Maqis iaitu tidak menyatakan rawatan di dalam sijl fitosanitasi sebagaimana yang dinyatakan permit, lesen dan perakuan.

"Kayu oak merah seberat 28,737 kilogram (28.7 tan) itu bernilai RM88,285.61 dipercayai dibawa masuk untuk pasaran Malaysia bagi tujuan pembuatan pintu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zamri berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 15(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].

"Syarikat terbabit boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 15(2), Akta sama yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali.

"Sehubungan itu, Maqis akan terus memperketatkan kawalan sempadan dan tiada kompromi ke atas biosekuriti barangan yang dibawa masuk dari luar negara bagi memastikan komoditi pertanian mematuhi syarat serta peraturan ditetapkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Jun 2021 @ 11:26 AM