Nur Izzati Mohamad


Bukit Mertajam: Polis terpaksa memanjat tembok setinggi kira-kira dua meter sebelum membongkarkan kegiatan sebuah kilang kayu di Juru Estate, di sini, yang beroperasi tanpa mendapat kelulusan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) ketika mengadakan serbuan tengah hari semalam.

Dalam serbuan 1.30 tengah hari itu, polis yang menjalankan operasi pematuhan prosedur operasi standard (SOP) terdengar bunyi bising dalam kilang berkenaan, namun keseluruhan pintu premis berada dalam keadaan tertutup.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, anggota kemudian memanjat tembok kilang berkenaan sebelum menemui 11 pekerja warga asing menjalankan kerja memotong kayu.

"Pemeriksaan di ruang pejabat pula menemui pemilik kilang berkenaan berusia 56 tahun dan pekerjanya berusia 53 tahun yang sedang berbincang mengenai urusan perniagaan.

"Siasatan mendapati pemilik kilang itu menjalankan perniagaan bukan keperluan dan tidak mendapat kelulusan MITI.

"Oleh itu, kompaun RM10,000 dikeluarkan ke atasnya mengikut Peraturan 16(3) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 manakala pekerjanya berusia 56 tahun itu dikompaun RM1,500 mengikut Peraturan 17(1) kerana tidak mendaftar masuk dengan mengimbas MySejahtera," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Katanya, polis turut menahan 11 warga asing terdiri daripada 10 warga Bangladesh dan seorang Nepal yang bekerja di kilang berkenaan apabila mendapati tiada dokumen perjalanan diri yang sah, selain tidak merekodkan kehadiran ke premis tempat mereka bekerja.

"Pemilik kilang juga ditahan kerana melindungi pekerja asing yang tiada dokumen diri yang sah bekerja dengannya.

"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1959 dan Seksyen 6(1)(c) akta yang sama," katanya.

Antara warga asing yang tidak memiliki dokumen perjalanan sah ditahan polis di sebuah kilang pembuatan kayu di Juru Estate.  FOTO Danial Saad
Antara warga asing yang tidak memiliki dokumen perjalanan sah ditahan polis di sebuah kilang pembuatan kayu di Juru Estate. FOTO Danial Saad

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Jun 2021 @ 11:15 AM