GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Abnor Hamizam Abd Manap


Jempol: Penoreh getah berusia 58 berputih mata apabila wang simpanan yang dikeluarkan daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berjumlah RM99,000 lesap selepas menjadi mangsa penipuan sindiket love scam.

Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Hoo Chang Hook berkata, mangsa yang juga bekas pekerja swasta itu pada awal Februari lalu berkenalan dengan seorang wanita warga Singapura melalui Facebook yang dikenali Sarah Wong, namun menetap di Australia.

Katanya, mangsa kemudian menjalinkan hubungan akrab secara maya namun tidak pernah membuat panggilan telefon atau panggilan video sepanjang perkenalan sebaliknya, hanya bermesej menggunakan aplikasi Whatsapp.

"Dalam tempoh perhubungan itu, suspek turut meluahkan masalah perniagaan yang diusahakan seorang kenalannya berkaitan industri minyak kepada mangsa.

"Suspek kemudian memberitahu mahu meminjam wang daripada mangsa bagi membantu kenalannya itu dan berikutan percaya dengan hubungan itu mangsa setuju membantu suspek," katanya dalam satu kenyataan.

Chang Hook berkata, mangsa kemudian melakukan enam transaksi pada 9 dan 10 Jun membabitkan wang berjumlah RM99,000 ke akaun CIMB atas nama Chew Wei Luen.

Katanya, mangsa diberitahu akaun berkenaan adalah milik pekerja kenalan suspek yang menguruskan kewangan syarikat.

"Sebaik menerima wang berkenaan, suspek sekali lagi menghubungi mangsa dan meminta RM131,000 dengan alasan kewangan syarikat masih tidak dapat diselesaikan.

"Mangsa yang curiga kemudian membuat laporan di Balai Polis Bahau pada Khamis lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Jun 2021 @ 11:09 AM