AHMAD Shukri. FOTO Luqman Hakim Zubir.
AHMAD Shukri. FOTO Luqman Hakim Zubir.
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Polis sudah mengambil keterangan beberapa individu berhubung dakwaan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan dengan berarak mengiringi mayat di Taman Samudera di sini.

Video mengenai aktiviti itu tular di media sosial sejak semalam, selepas dimuat naik ke akaun Facebook (FB) 'Kami Anak Kedah'

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, antara individu yang direkod keterangan adalah anak si mati, ahli keluarga yang lain dan pihak pengurusan tempat pengebumian.

Katanya, semakan kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian turut dilakukan untuk mengesahkan sama ada berlaku pelanggaran SOP PKP atau tidak.

"Butiran si mati sudah diperoleh dan keterangan anak si mati mendakwa proses itu berlangsung dengan kehadiran tidak melebihi 10 orang yang terdiri daripada ahli keluarga.

"Rakaman keterangan saksi yang turut hadir ketika upacara pengebumian mayat itu juga diambil," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Shukri berkata, pihaknya sedang melengkapkan kertas siasatan kes itu sebelum dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya.

Katanya, siasatan dibuat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 9 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.

Terdahulu katanya, video mengenai upacara itu yang dipercayai dirakam lelaki yang tinggal di kawasan kejiranan berkenaan mendapati ia sudah dipadam daripada akaun 'Kami Anak Kedah'.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Jun 2021 @ 10:42 PM