GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Ruang kerja yang sempit dipercayai punca penularan jangkitan Covid-19 membabitkan kakitangan sebuah syarikat pembekalan elektrik di Keningau, hingga mencetuskan kluster baharu berkaitan tempat kerja di Sabah, hari ini.

Kluster Pintas - Lingkudau itu membabitkan mukim Lingkudau, Luagan dan Patikang di Keningau serta mukim Sunsuran di Tambunan yang setakat ini dikesan menjangkiti 10 individu bagi kedua-dua daerah.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, kluster itu tercetus selepas seorang pegawai eksekutif wanita berumur 34 tahun di syarikat itu disahkan positif melalui saringan bergejala pada 15 Jun lalu.

"Susulan itu, seramai 82 individu menjalani saringan kontak di Pusat Saringan Institut Pendidikan Guru (IPG) Keningau pada 16 Jun dan hasilnya dua orang kontak rapat pesakit di tempat kerja positif Covid-19.

"Pada hari berikutnya, enam lagi kes positif dilaporkan merangkumi satu kes saringan kontak rapat di sebuah poliklinik dan lima kes positif melalui aktiviti lapangan oleh Pejabat Kesihatan Kawasan Keningau.

"Turut dikesan ialah satu lagi kes positif melalui saringan RTK Antigen yang dilaporkan oleh Pejabat Kesihatan Tambunan pada hari sama, menjadikan jumlah kumulatif bagi kluster ini sebanyak 10 kes," katanya dalam kenyataan media, malam ini.

Sabah hari ini mencatat 199 kes baharu Covid-19 dengan enam kematian, masing-masing satu di Sandakan, Kunak, Putatan, Papar, Lahad Datu dan Kota Belud, manakala seramai 253 pesakit dilaporkan sembuh.

Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri berkata, jumlah kes baharu hari ini menunjukkan penurunan sebanyak 49 kes berbanding 248 kes yang direkodkan semalam.

Katanya, sebanyak 91 kes dikesan melalui saringan kontak rapat, diikuti saringan kluster (61 kes), saringan bergejala (27 kes), saringan bersasar (lima) dan 15 kes lagi dikesan melalui ujian saringan lain.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Jun 2021 @ 10:21 PM