Hamzah Zainuddin.
Hamzah Zainuddin.
Noor Atiqah Sulaiman


Putrajaya: Penugasan anggota polis akan ditumpukan kepada sektor perkilangan berikutan pertambahan kluster dalam sektor berkenaan sejak kebelakangan ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, penugasan itu akan dilakukan oleh anggota polis yang ditugaskan dalam operasi mengejut atau 'snap check'.

"Kita mahu selepas ini pihak polis memberi lebih tumpuan untuk memeriksa kilang ini sama ada mereka mempunyai kelulusan untuk beroperasi atau tidak.

"Ini kerana ada laporan yang diterima, walaupun ada kilang yang dibenarkan untuk beroperasi, namun bila kita siasat rupanya majikan memberi maklumat yang kurang tepat semasa memohon kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti).

"KDN memandang serius tindakan majikan atau kilang yang memberikan maklumat tidak benar untuk memperolehi kebenaran beroperasi dalam tempoh Sekatan Pergerakan Penuh Perintah Kawalan Pergerakan," katanya dalam sidang media Rangkuman Operasi Pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Sekatan Pergerakan Penuh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ini.

Hamzah berkata sejak 14 Jun lalu, sebanyak 48,770 kilang dan premis perniagaan sudah diperiksa yang merangkumi 7,387 kilang dan 41,383 premis perniagaan.

"Dalam operasi yang dijalankan itu, sebanyak 201 kompaun dikeluarkan terhadap kilang dan premis perniagaan kerana melanggar prosedur SOP serta 21 tangkapan dibuat.

"Selain itu terdapat 63 kilang dan premis perniagaan diarahkan untuk ditutup. Tindakan penguatkuasaan oleh pasukan pematuhan SOP akan terus diperhebatkan bagi memastikan penularan Covid-19 dalam kalangan kluster perkilangan dapat dibendung.

"Bagi majikan yang melakukan kesalahan, mereka boleh dikenakan tindakan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) yang boleh dikenakan kompaun sebanyak RM10,000 bagi kesalahan pertama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Jun 2021 @ 4:01 PM