Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Menteri Kanan yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyangkal tohmahan segelintir pihak mendakwa kerajaan gagal mengawal penularan Covid-19.

Katanya, kerajaan sebaliknya berjaya menurunkan kadar kebolehjangkitan atau Rt di Malaysia selain jumlah kes harian.

Menurutnya, kejayaan kerajaan mengawal penularan Covid-19 daripada terus merebak termasuk dalam melaksanakan langkah tegas terutama penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)3.0.

"Walaupun ada pihak yang kata kita gagal melaksanakan tugas, sebenarnya Malaysia berjaya mengawal penularan Covid-19 dengan pelaksanaan sekatan perjalanan penuh atau PKP 3.0.

"Jika unjuran mengikut model SIER (Susceptible-Exposed-Infectious-Removed) yang digunakan Kementerian Kesihatan (KKM) dalam menilai kadar kebolehjangkitan atau Rt, seharusnya Malaysia mencatat 13,000 kes sehari pada Isnin lalu, namun angka sebenar yang direkodkan pada 14 Jun lalu hanya 4,949 kes.

"Mengapa ia berlaku, ia kerana langkah tegas diambil kerajaan, sudah tentu ia adalah satu kejayaan bagi mengawal penularan Covid-19.

"Sebab itu kita laksanakan PKP 3.0 sebagai usaha yang dijalankan kerajaan untuk menghalang pergerakan dan mengawal Covid-19 yang sudah menampakkan hasil yang positif dan berjaya mengawal penularan," katanya.

Azmin Ali ketika sidang akhbar selepas meninjau PPV PIKAS Mount Austin di Taman Mount Austin, Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Azmin Ali ketika sidang akhbar selepas meninjau PPV PIKAS Mount Austin di Taman Mount Austin, Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Program Imunisasi Industri Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) Covid-19 Pusat Konvensyen Antarabangsa Austin (AICC) di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Mohamed Azmin tidak menafikan kewujudan beberapa kluster berlaku di tempat kerja terutama membabitkan sektor perindustrian.

"Memang wujud beberapa kluster di tempat kerja termasuk di kilang atau tempat penginapan serta tapak pembinaan.

"Namun kita berpendapat antara langkah penting kerajaan untuk kurangkan penularan adalah dengan melaksanakan PKP 3.0 yang bertujuan untuk kurangkan pergerakan rakyat.

"Kita sedar kepentingan nyawa adalah amat penting dan tidak boleh berkompromi namun dalam masa yang sama kerajaan perlu lihat keperluan untuk berikan aktiviti perkhidmatan penting yang dibenarkan beroperasi dengan prosedur operasi standard (SOP) ketat.

"Ini penting untuk memastikan kesihatan rakyat terjamin serta kesejahteraan hidup rakyat terus dipelihara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Jun 2021 @ 3:55 PM