BERNAMA

Kuala Lumpur: Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menyertai program PKRC Berselawat Bersama Perdana Menteri dan Rakyat Malaysia yang diadakan secara maya bagi memohon kesejahteraan warga di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) serta seluruh rakyat yang kini berjuang melawan pandemik Covid-19.

Bacaan selawat dipimpin oleh Imam Besar Masjid Putra Ikmal Zaidi Mohd Hashim bersama dua qari Ahmad Tarmizi Ali dan Amir Rahman Abbas di kompleks Islam, Putrajaya.

Perdana Menteri yang mengikuti program itu di Jabatan Perdana Menteri turut disertai ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan serta rakyat Malaysia termasuk warga di PKRC seluruh negara secara maya yang disiarkan secara langsung menerusi beberapa stesen televisyen tempatan termasuk Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Bernama TV pada 8.30 pagi ini.

Turut serta, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Bacaan selawat itu kemudian diakhiri dengan doa keselamatan oleh Ikmal Zaidi yang antara lain memohon Allah SWT memberi perlindungan kepada rakyat Malaysia daripada segala penyakit berbahaya serta mendoakan kesejahteraan dan kestabilan negara.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Jun 2021 @ 10:20 AM
SAFTIAH Hassan, 72 mengaminkan doa dibacakan  ketika mengikuti  Program Mega  PKRC Berselawat bersama Perdana Menteri dan rakyat secara maya di TV1. FOTO Aswadi Alias.
SAFTIAH Hassan, 72 mengaminkan doa dibacakan ketika mengikuti Program Mega PKRC Berselawat bersama Perdana Menteri dan rakyat secara maya di TV1. FOTO Aswadi Alias.